Oleh IBNU JANIE
AYER KEROH, 25 Mei : Dua kematian dan 258 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.
Menurut laporan itu, kes kematian pertama melibatkan seorang lelaki berumur 73 tahun daripada Mukim Bandar Melaka, Daerah Melaka Tengah.
“Kes mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan kanser hati. Kes dikesan positif melalui saringan kontak rapat kes positif (anak) daripada Kluster Jalan Semabok,” kata laporan itu.
Bagi kes kedua, kata JKNM, melibatkan seorang wanita, berumur 88 tahun daripada Mukim Bachang, Melaka Tengah.
“Kes mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi. Beliau juga mempunyai kontak rapat dengan rakan yang positif,” jelas laporan itu.
Menurut JKNM lagi daripada 258 kes baharu hari ini, 88 kes dikesan di Daerah Alor Gajah; 120 kes di Daerah Melaka Tengah dan 50 kes lagi daripada Daerah Jasin.
JKNM turut melaporkan daripada keseluruhan kes baharu itu juga sebanyak 248 kes adalah daripada kategori tempatan, tujuh kes lagi daripada kes import dan tiga kes lagi daripada kes banduan/OKT.
Jabatan itu juga melaporkan sebanyak 150 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1736 kes masih dirawat dengan 47 kes adalah daripada kes ICU dan 13 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.
Mukim-mukim dalam Negeri Melaka yang berada di dalam zon merah hari ini ialah mukim Durian Tunggal, Kelemak, Kemuning, Sungai Baru Ilir dan Sungai Baru Tengah di Daerah Alor Gajah; mukim Balai Panjang, Bandar Melaka, Batu Berendam, Bertam, Bukit Katil, Bukit Rambai, Duyong dan Sungai Udang bagi Daerah Melaka Tengah; sementara bagi Daerah Jasin pula ialah mukim Kesang, Merlimau dan Serkam.
Sementara itu Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan 7289 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 2642 kes diikuti oleh Johor yang mencatatkan 664 kes.
Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 60 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 525,889 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.
AKIKAH MAKKAH EMRANSYAH
. SAMBAL IBU SARI .