Home Berita PAS Sabah

PAS lancar operasi bantu penduduk terjejas di Beaufort

53
SHARE

 

Oleh : Asrul bin Samat
24 Mei 2021

BEAUFORT : Bencana banjir di daerah Beaufort yang bermula sejak pertengahan Mei lepas, kini kian beransur surut di beberapa bahagian utama, terutamanya di kawasan pekan dan sekitarnya.

Namun begitu, terdapat beberapa buah kawasan yang masih lagi dinaiki air banjir, seperti kawasan kampung Rancangan Klias, Klias Kecil, Laba, Kukuro, Layong serta kawasan sekitar kampung Gadong dan Bukau.

Penduduk yang terjejas dengan banjir ini mengalami kesukaran dari aspek akses laluan jalanraya yang terputus, serta menambahkan lagi kesukaran di musim bencana ini, masalah ketiadaan bekalan air bersih yang semakin serius selepas banjir bermula.

Prihatin terhadap perkara ini, Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Beaufort tampil menghulurkan bantuan berupa pek air minuman sebagai inisiatif untuk membantu penduduk kampung yang terjejas dengan masalah ketiadaan bekalan air bersih di beberapa kawasan yang terlibat dengan banjir.

Dianggarkan kira-kira 600 penduduk menerima manfaat daripada bantuan tersebut yang disampaikan oleh Syahrazan Noh, AJK PAS Kawasan Beaufort kepada wakil dan ketua kampung Pintas, Kukuro, Layung dan Kebulu.

Menurut beliau, selain bantuan dalam bentuk keperluan asas, PAS Kawasan Beaufort juga akan menggerakkan agensi-agensinya terutama sekali Jabatan Amal untuk melaksanakan operasi pasca banjir dalam masa terdekat khusus untuk kerja-kerja pembersihan premis dan fasiliti awam seperti masjid, surau, sekolah dan sebagainya yang terjejas akibat banjir, seperti yang telah dilakukan dalam beberapa siri operasi pasca banjir di Beaufort yang pernah berlaku sebelum ini.