Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 170 kes jangkitan dan 2 kematian baharu

85
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 11 Jun : Sebanyak 170 kes jangkitan dan dua kematian baharu Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini.

Demikian dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut laporan itu daripada 170 kes jangkitan baharu itu, 166 kes adalah daripada kategori tempatan, tiga kes adalah daripada kategori import sementara satu kes lagi adalah daripada kategori banduan/OKT.

JKNM turut melaporkan bahawa daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 77 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 44 kes di Daerah Jasin dan 49 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 358 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 1846 kes masih dirawat dengan 54 kes adalah daripada kes ICU dan 15 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Terdapat dua kematian dilaporkan di negeri Melaka hari ini di mana kedua-dua mangsa adalah lelaki daripada Daerah Melaka Tengah dengan seorang daripadanya berusia 51 tahun daripada Mukim Batu Berendam manakala seorang lagi berumur 55 tahun daripada Mukim Krubong.

Laporan kluster

Sehingga hari ini masih terdapat 27 kluster aktif di negeri Melaka daripada kluster Melaka dan satu kluster daripada luar Melaka.

Terdapat pertambahan kes bagi kluster sedia ada iaitu 39 kes daripada Kluster Industri Batu Berendam; lapan kes bagi Kluster Batu 16 Bemban; satu kes dari Kluster Industri Pengkalan Balak dan lima kes Kluster Jalan Tanjung Minyak.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 6849 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, lebih tinggi daripada semalam.

Selangor pula kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri lebih tinggi daripada semalam iaitu sebanyak 2558 kes diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 884 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 84 kes kematian baharu direkodkan hari ini sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 646,411 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.