Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 17 maut, 674 positif hari ini

158
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 27 Jul: Sebanyak 17 kes kematian dan 674 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) ini dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada 17 kes kematian baharu itu, tiga kes direkodkan di Daerah Alor Gajah, 11 kes di Melaka Tengah dan tiga kes lagi direkodkan di Jasin.

Secara keseluruhan mangsa terdiri daripada tujuh wanita dan 10 lelaki yang berusia antara 34 dan 81 tahun.

Kes positif baharu

Menurut laporan itu juga, daripada 674 kes positif baharu yang dikesan di negeri ini hari ini, 640 kes adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kategori kes import dan 30 kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 426 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 95 kes di Daerah Jasin dan 153 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 318 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 4426 kes masih dirawat hari ini berbanding 4070 semalam dengan 91 kes adalah daripada kes ICU dan 23 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 674 kes hari ini ialah, 246 kes melibatkan kluster kilang; 267 kes kontak keluarga; 30 kes melibatkan Institusi Penjara; 40 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang sementara 77 kes saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 12.1 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 5.7 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 16,117 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 14,516 kes semalam.

Selain itu, 207 kes kematian baharu direkodkan hari ini sama seperti semalam, sementara 11,526 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 9372 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 170,224 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,044,071 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 6616 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2457 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.