Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 16 kematian baharu hari ini!

123
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 21 Jul: Sebanyak 16 kes kematian baharu akibat Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada 16 kes kematian itu tiga kes direkodkan di Daerah Alor Gajah, 11 kes di Daerah Melaka Tengah, satu kes di Daerah Jasin sementara satu kes lagi melibatkan kematian yang berlaku di rumah, namun tiada maklumat lokasi diberi.

Secara keseluruhan kes kematian ini melibatkan tujuh mangsa lelaki dan sembilan wanita yang berumur antara 38 dan 93 tahun.

Kes positif baharu

Tambah JKN Melaka, sebanyak 453 kes positif baharu dikesan di negeri ini hari ini, di mana 448 kes adalah daripada kategori kes tempatan, empat kes daripada kategori kes import, sementara satu kes lagi adalah kes banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 287 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 48 kes di Daerah Jasin dan 118 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga berkata sebanyak 212 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 4116 kes masih dirawat berbanding 3884 semalam dengan 100 kes adalah daripada kes ICU dan 29 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

JKN Melaka turut menyenaraikan lima punca utama jangkitan bagi kes hari ini iaitu 131 kes melibatkan kluster kilang; 236 kes melibatkan kontak keluarga; satu kes melibatkan Institusi Penjara; 20 kes melibatkan tempat kerja (bukan kilang); sementara 40 kes lagi melibatkan saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

JKN Melaka melaporkan tiada kluster baharu direkodkan hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 10.3 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 4.8 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 11,985 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 12,366 kes semalam.

Selain itu, 199 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 93 kes semalam, sementara 7902 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 7567 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 135,587 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 951,884 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 5550 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 1174 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.