Home Artikel PAS Melaka

Covid-19 Melaka : 132 kes baharu hari ini!

340
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 20 Jan : 132 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini seperti yang dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu, daripada 132 kes baharu itu, 99 daripadanya adalah kes tempatan, 16 lagi adalah daripada kes Import B, sementara 17 kes lagi adalah banduan/ OKT/ PATI.

JKNM juga melaporkan, sebanyak 760 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk lapan kes ICU sementara empat kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 16 mukim berada di zon hijau dan 15 mukim lagi berada di zon kuning sementara mukim Taboh Naning yang merupakan zon jingga semalam telah menjadi zon hijau hari ini.

Sementara daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, hanya satu zon hijau; 18 mukim di dalam kuning; enam mukim di dalam zon jingga; dan empat mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bandar Melaka, Batu Berendam, Bukit Katil dan Cheng.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, enam adalah di dalam zon hijau; 12 adalah zon kuning; dan tiga dalam zon jingga.

Tambah laporan itu lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka hari ini ialah Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air dan Kluster Tembok Kemus sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 4008 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini di mana Selangor mencatat kes tertinggi antara negeri dengan merekod 1391 kes dan diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 513 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.