Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 13 maut, 452 kes positif baharu hari ini

141
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 23 Jul: Sebanyak 13 kes kematian dan 452 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) ini dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada 13 kes kematian yang direkodkan hari ini, tiga kes dikesan di Daerah Alor Gajah, sembilan kes dikesan di Daerah Melaka Tengah manakala satu kes lagi dikesan di Daerah Jasin.

Secara keseluruhan kes kematian ini melibatkan empat mangsa lelaki dan sembilan wanita yang berumur antara 33 dan 76 tahun.

Kes positif baharu

Menurut laporan itu lagi, daripada 452 kes positif baharu yang dikesan di negeri ini hari ini, 438 kes adalah daripada kategori kes tempatan dan masing-masing tujuh kes daripada kategori kes import dan kategori banduan/OKT/PATI.

Kata jabatan itu lagi, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 225 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 94 kes di Daerah Jasin dan 133 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Jabatan itu juga menambah, sebanyak 275 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 4150 kes masih dirawat berbanding 3971 semalam dengan 94 kes adalah daripada kes ICU dan 29 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

JKN Melaka turut menyenaraikan lima punca utama jangkitan bagi kes hari ini iaitu iaitu 33 kes melibatkan kluster kilang; 284 kes kontak keluarga; tujuh kes melibatkan Institusi Penjara; 34 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 53 kes lagi melibatkan saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

Tiada kluster baharu direkodkan hari ini.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 10.9 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 5.1 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 15,573 jumlah keseluruhan kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini, berbanding 13,034 kes semalam.

Selain itu, 144 kes kematian baharu direkodkan hari ini berbanding 134 kes semalam, sementara 10,094 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini berbanding 8436 kes semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 147,386 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia berjumlah 980,491 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 7672 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 2063 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.