Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 12 kes baharu hari ini

398
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 22 Mac : Sebanyak 12 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini kata Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu daripada 12 kes itu sembilan kes adalah daripada kategori tempatan manakala tiga kes lagi ialah kes banduan/ OKT/PATI.

JKNM juga melaporkan sebanyak 16 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 137 kes masih dirawat di Hospital Melaka termasuk dua kes ICU dan satu lagi rawatan dengan bantuan alat pernafasan.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Kampung Gedang, Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Teknologi Berendam, Kluster Jalan Haji Malek, Kluster Teknologi Lot Enam dan Kluster DTI Machap Umboo sementara kluster luar yang ada kaitan dengan kes Melaka ialah Kluster Jalan Satang (HKL).

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 28 mukim berada di zon hijau dan tiga mukim lagi berada di zon kuning.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, 13 mukim di dalam zon hijau, 14 mukim lagi di dalam zon kuning, dan masing-masing satu mukim dalam zon jingga dan zon merah.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 17 adalah di dalam zon hijau dan empat lagi adalah dalam zon kuning.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 1116 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor masih mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 403 kes, diikuti oleh Kuala Lumpur yang mencatatkan 158 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 334,156 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini kecuali Perlis.