Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 1120 kes positif baharu hari ini!

255
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 16 Ogos: Sebanyak 1120 kes positif baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada 1120 kes positif baharu itu, 1106 kes adalah daripada kategori kes tempatan, lapan kes daripada kategori kes import B dan enam kes bagi kategori banduan/OKT/PATI.

Kata laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 843 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 63 kes di Daerah Jasin dan 214 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 380 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 7463 kes masih dirawat dengan 99 kes adalah daripada kes ICU dan 37 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 1120 kes hari ini ialah, 726 kes melibatkan kluster kilang; 191 kes melibatkan kontak keluarga; enam kes melibatkan institusi penjara; 22 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 136 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Kes kematian

Menurut JKN Melaka, sebanyak 16 kes kematian direkodkan di Negeri Melaka hari ini di mana 10 kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah, empat kes di Daerah Alor Gajah dan dua kes di Daerah Jasin.

Secara keseluruhan mangsa kematian terdiri daripada sembilan wanita dan tujuh lelaki yang berusia antara 21 dan 87 tahun.

Laporan kluster

Satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Industri Pengkalan Balak-2 yang merupakan kluster tempat kerja melibatkan sebuah kilang di Pengkalan Balak, Mukim Sungai Baru Tengah dalam Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 51 kes positif direkodkan setakat ini dengan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 17.1 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 10.7 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 19,740 kes positif baharu, 274 kes kematian baharu dan 17,450 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 249,277 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,424,639 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 5706 kes, diikuti oleh Sabah yang mencatatkan 1728 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.