Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 11 kes kematian, 399 kes positif baharu

321
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 3 Sept: Sebanyak 11 kes kematian dan 399 kes positif baharu akibat Covid-19 direkodkan di Negeri Melaka hari ini, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi jabatan itu sebentar tadi.

Menurut JKN Melaka, daripada keseluruhan kes kematian ini, sebanyak lapan kes direkodkan di Daerah Melaka Tengah melibatkan empat mangsa wanita berumur 84, 85, 56 dan 94 tahun dan empat mangsa lelaki berumur 55, 89, 82 dan 61 tahun.

Dua kes lagi direkodkan di Daerah Jasin melibatkan seorang mangsa wanita berumur 54 tahun dan seorang mangsa lelaki berumur 46 tahun, sementara satu kes lagi direkodkan di Daerah Alor Gajah melibatkan mangsa wanita berumur 78 tahun.

Kes positif baharu

Kata laporan itu lagi, daripada 399 kes positif baharu yang direkodkan hari ini, 353 kes adalah daripada kategori kes tempatan, satu kes daripada kategori kes import A, dua kes daripada kes import B dan 43 kes daripada kategori banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu, daripada keseluruhan kes baharu itu juga, 155 kes dikesan di Daerah Melaka Tengah, 116 kes di Daerah Jasin dan 128 kes lagi dikesan di Daerah Alor Gajah.

Sebanyak 506 kes sembuh baharu direkodkan hari ini sementara 7472 kes masih dirawat dengan 83 kes adalah daripada kes ICU dan 26 kes lagi daripada kategori bantuan alat pernafasan.

Lima punca utama jangkitan bagi 399 kes hari ini ialah, 97 kes melibatkan kluster kilang; 135 kes melibatkan kontak keluarga; 43 kes melibatkan institusi penjara; 12 kes melibatkan tempat kerja bukan kilang; sementara 81 kes lagi adalah saringan bergejala dalam kalangan orang ramai.

Laporan kluster

Satu kluster baharu direkodkan hari ini iaitu Kluster Batu Gajah Merlimau yang merupakan kluster komuniti melibatkan keluarga dan rakan-rakan sosial di kawasan penempatan setempat di mukim Merlimau.

Sebanyak 31 kes positif telah direkodkan setakat hari ini dengan punca jangkitan adalah secara sporadik dan telah merebak ke kontak keluarga dan sosial.

Kes seluruh negara

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula melaporkan seramai 15.4 juta rakyat Malaysia telah mengambil satu doz vaksin sementara 20.1 juta pula telah mengambil dua doz lengkap sehingga semalam.

KKM juga melaporkan sebanyak 19,378 kes positif baharu, 330 kes kematian baharu dan 22,399 kes sembuh baharu turut direkodkan hari ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sebanyak 259,189 kes aktif semasa direkodkan sementara keseluruhan kes jangkitan terkumpul dicatatkan di Malaysia hari ini berjumlah 1,805,382 kes.

Selangor pula masih kekal mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 3613 kes, diikuti oleh Sarawak yang mencatatkan 2464 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.

PENGUMUMAN KHAS JKN MELAKA

JKN Melaka telah mengumumkan bahawa bermula 30 Ogos individu di Negeri Melaka yang berusia 50 tahun ke atas yang belum mendapat tarikh temujanji dalam aplikasi Mysejahtera boleh melakukan ‘walk in’ ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seperti di infografik dari jam 8.00 pagi hingga 1 tengahari.

Seramai maksimum 50 orang individu boleh melakukan ‘walk ini’ pada setiap hari di setiap PPV.

Namun bagi individu yang telah menerima tarikh temujanji, jabatan itu menasihatkan mereka agar patuh tarikh temujanji yang telah diberi.