Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka | 10 kes baharu

347
SHARE

Oleh IBNU JANIE

MASJID TANAH, 5 Mac : Sebanyak 10 kes baharu direkodkan di Negeri Melaka hari ini seperti yang dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu, daripada 10 kes tersebut, dua kes adalah daripada kes tempatan, satu kes import dan tujuh lagi melibatkan kes banduan/OKT/PATI.

Tambah laporan itu lagi, berdasarkan daerah, daripada 10 kes itu juga, lapan kes dikesan di Melaka Tengah dan dua kes lagi dikesan di Alor Gajah.

JKNM juga melaporkan sebanyak 23 kes sembuh baharu direkodkan hari ini, sementara 180 kes pula masih dirawat di Hospital Melaka termasuk enam kes ICU manakala satu kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Kampung Gedang, Kluster Telok Mas, Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Bukit Palah, Kluster Jalan Masjid Tanah, Kluster Industri Serkam, Kluster Dialisis Masjid Tanah, Kluster Jalan Bukit Baru, Kluster Teknologi Berendam dan Kluster Teknologi Lot Enam sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Gombak dan Kluster Perindustrian Cyber Senai.

Bagi status kategori zon untuk mukim-mukim dalam Negeri Melaka pula, bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, 23 mukim berada di zon hijau, lapan mukim lagi berada di zon kuning sementara tiada mukim berada di dalam zon jingga atau zon merah.

Bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, 16 mukim di dalam zon hijau; 11 mukim di dalam zon kuning; dua mukim di dalam zon jingga; dan tiada mukim dalam zon merah.

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, 13 adalah di dalam zon hijau dan lapan lagi adalah dalam zon kuning sementara tiada mukim dalam zon jingga dan zon merah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 2154 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini dengan Selangor mencatatkan kes baharu harian tertinggi antara negeri iaitu sebanyak 794 kes, diikuti oleh Johor yang mencatatkan 463 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 310,097 kes dengan semua negeri atau wilayah ada merekodkan kes baharu hari ini.