Home Berita PAS Melaka

Covid-19 Melaka : 1 kes kematian baharu dua hari berturut-turut!

408
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH, 30 Jan : Satu lagi kes kematian baharu akibat Covid-19 dilaporkan di Negeri Melaka hari ini menjadikan keseluruhan kes kematian setakat ini berjumlah sepuluh kes.

Demikian dinyatakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam satu hantaran di laman Telegram rasminya sebentar tadi.

Menurut laporan itu, kes terbaru ini melibatkan seorang mangsa berumur 64 tahun, menjadikan Melaka merekodkan kes kematian baharu dua hari berturut-turut.

Laporan itu juga menyebut sebanyak 42 kes baharu Covid-19 direkodkan di negeri Melaka hari ini dengan 38 daripadanya adalah kes tempatan, tiga kes Import B, manakala satu kes lagi adalah kes banduan/OKT/PATI.

Berdasarkan daerah, daripada 42 kes itu, 26 kes dikesan di Melaka Tengah, 11 kes di Alor Gajah sementara lima kes lagi dikesan di Jasin, kata laporan itu.

JKNM juga melaporkan sebanyak 193 kes sembuh baharu direkodkan hari ini manakala 1022 kes masih dirawat di Hospital Melaka dan PKRC hari ini termasuk tujuh kes ICU sementara empat kes lagi dibantu dengan alat penafasan.

Bagi daerah Alor Gajah, daripada 31 mukim, sembilan mukim berada di zon hijau, 22 mukim lagi berada di zon kuning dan tiada mukim berada di dalam zon jingga atau merah.

Sementara bagi daerah Melaka Tengah pula, daripada keseluruhan 29 mukim, tiada zon hijau; 18 mukim di dalam zon kuning; lima mukim di dalam zon jingga; dan enam mukim lagi di dalam zon merah iaitu mukim Bachang (129 kes), Bandar Melaka (267 kes), Batu Berendam (121 kes), Bukit Baru (102 kes), Bukit Katil (75 kes) dan Sungai Udang (60 kes).

Bagi daerah Jasin pula, daripada 21 mukim, tiga adalah di dalam zon hijau; 15 adalah dalam zon kuning; tiga mukim dalam zon jingga dan tiada mukim dalam zon merah.

 

Tambah JKNM lagi, kluster yang masih aktif di Negeri Melaka ialah Kluster Serkam Tengah, Kluster Pantai Peringgit, Kluster Dialisis Malim, Kluster Teknologi Kesidang, Kluster Rambai, Kluster Telok Mas, Kluster Anak Air, Kluster Tembok Kemus, Kluster Bukit Sebukor, Kluster Jalan Usaha, Kluster Tapak Bina Bali Residence dan Kluster Tembok Sungai Udang, Kluster Bukit Palah dan Kluster Jalan Kejora, sementara kluster negeri lain yang melibatkan Melaka pula ialah Kluster Jalan Harapan dan Kluster Tanjung Megah.

Kementerian Kesihatan Malaysia pula melaporkan sebanyak 5728 kes baharu direkodkan di seluruh negara hari ini menjadikan hari ini adalah hari kedua jumlah kes harian melepasi paras lima ribu.

Selangor juga hari ini turut mencatatkan kes baharu harian melepasi paras 3000 kes dua hari berturut-turut dengan mencatat sebanyak 3285 kes, tertinggi antara negeri hari ini diikuti oleh Johor yang mencatatkan 792 kes.

Laporan itu juga menyatakan bahawa sehingga kini keseluruhan kes dicatatkan di Malaysia berjumlah 209,661 kes dengan Perlis menjadi satu-satunya negeri atau wilayah yang tidak merekodkan kes baharu hari ini.

INFO KHIDMAT MASYARAKAT