Home Berita PAS Melaka

Cerpen Hari Guru : “Rumah Itu Untuk Kamu”

3024
SHARE

Nukilan  IBNU JANIE

AQIF tersenyum. Akhbar yang dibacanya itu ditenung bagaikan mahu tembus. Kalau matanya kanta mungkin akhbar itu sudah terbakar. Tajuk berita yang tertulis ‘Raikal CEO baru Perdana Corporation Berhad’ itu menarik perhatiannya. Nama itu dia sangat kenal. Wajah yang tertampang di akhbar itu juga dia sangat kenal.

“Fad… Tengok ni. Student aku dulu ni.”

Aqif menunjukkan akhbar yang dibacanya kepada rakannya yang sedang minum bersamanya di kedai minum itu. Fadaly mengambil akhbar itu dan membacanya.

“Fuh! Dahsyat! CEO Perdana Corporation! Kau ajar dia dulu Qif?”

“Iya, lama dah. 18 tahun dulu Fad. Budak ni memang dari kolej memang bagus. Tiap-tiap semester dia skor.” Kata Aqif bangga.

Fadaly hanya tersenyum. Aqif tahu sahabatnya itu tidak betul-betul faham kegembiraanya ketika itu. Hanya seorang guru sahaja yang faham.

“Dia ni yang paling hebat ke?”

“Setakat ni pencapaian budak ni paling menyerlah.” Sambung Aqif lagi.

“Yang lain?”

“Yang lain pun alhamdulillah boleh tahan Fad. Ada yang dah jadi pegawai kerajaan, jadi eksekutif bank, jadi usahawan yang berjaya. Ramai jugak yang jadi guru dan pensyarah. Ada antara diorang yang dah ada PhD! Aku pun tak ada PhD Fad. Hehehe…”

“Hebat anak-anak didik kau ni Qif”

“Alhamdulillah.”

Sering juga Aqif membaca status bekas pelajar-pelajarnya di Facebook. Di situlah dia mengetahui perkembangan bekas pelajar-pelajarnya. Dia banyak mengetahui perkembangan Raikal di Facebooknya.

Pernah juga Aqif meletakkan komen ‘tahniah’ ketika bekas pelajarnya itu meletakkan satu berita tentang kejayaannya dalam urusan kerjanya. Tapi komen itu langsung tidak dibalas. Aqif tidak berkecil hati. Dia tahu Raikal sibuk. Ada beratus komen di Facebooknya itu. Barangkali dia tidak sempat membalas komen-komen yang banyak itu.

Pernah juga satu ketika Aqif melihat status Raikal di Facebook yang dia sedang bercuti di Melaka dengan keluarganya. Tapi tidak pula Raikal menghubunginya kalau-kalau ada masa untuk menjengok bekas gurunya ini.

Yang lain pun sama. Mereka silih berganti bertandang ke Melaka dan pulang. Kemudian yang lain pula bertandang ke Melaka dan pulang. Di masa lain mereka bertandang lagi ke Melaka dan pulang. Tapi tiada yang mahu mencari atau menghubungi Aqif.

“Hei Qif, apa yang kau fikirkan tu?” Fadaly menegur Aqif yang seperti mengelamun seketika.

“Tak… Aku teringat pelajar-pelajar aku dulu. Lama betul aku tak jumpa mereka. Rindu pulak nak jumpa diorang.”

“Lama?”

“Sangat lama.” Aqif terdiam lagi. Fikirannya bagaikan melayang jauh ke masa-masa silam.

Bayangan-bayangan kisah silam itu bagaikan terpapar jelas di depan matanya umpama wayang gambar tiga dimensi. Saat-saat dia baru diterima masuk ke kolej Profesional MARA Melaka ini sebagai pensyarah selepas setahun dia menamatkan pengajiannya di universiti. Raikal, bekas pelajarnya itu adalah antara batch awal anak didiknya semasa dia baru menjadi pensyarah di kolej ini.

Di dalam kelasnya Aqif suka bercerita kepada pelajar-pelajarnya. Itu cara dia menyampaikan nasihat dan memberi mereka motivasi.

“Hari ni saya nak bercerita tentang kisah seorang tukang buat rumah yang sangat hebat. Rumah yang dia bina mesti cantik. Tak pernah mengecewakan. Dia bekerja di sebuah syarikat pembinaan yang besar dan terkenal. Satu hari dia menyatakan kepada bosnya hasrat untuk bersara.

“Bila dia bagitau bos dia, bos dia pun sangat sedih. Kata bosnya : ‘Saya ada satu permintaan. Sebelum awak bersara saya mintak awak buat sebuah lagi rumah. Ini adalah projek terakhir awak.’. Kata bosnya itu. Sebenarnya hatinya berat untuk menerima arahan yang baru sahaja diterimanya itu untuk menyiapkan satu lagi rumah yang terakhir itu kerana dia tidak sabar lagi untuk bersara dan menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama keluarganya. Namun akhirnya dengan berat hati dia pun membina rumah seperti yang diminta bosnya itu.” Aqif bercerita. Pelajar-pelajarnya tekun mendengar.

Aqif menyambung lagi.

“Tapi kali ini dia melakukan kerjanya dengan tidak sepenuh hati kerana hatinya sedang melonjak-lonjak untuk bersara. Akhirnya dia berjaya menyiapkan rumah itu. Tapi rumah yang dibinanya itu tidak cantik seperti yang selalu dia bina. Kemudian dia pun memberitahu kepada bosnya bahawa dia telah menyiapkan rumah itu. Dia juga meminta kebenaran untuk bersara dan pulang ke kampung.

Gambar hiasan (kredit foto : Google)

“Bosnya pun mengucapkan terima kasih kepadanya atas segala khidmatnya pada syarikat selama ini. Dan yang paling memeranjatkannya ialah apabila bosnya memberitahu rupanya rumah terakhir yang dia bina itu adalah hadiah dari syarikat untuknya atas persaraannya.”

Pelajar-pelajarnya terdiam.. Ada yang tersenyum.

“Nampak tak? Awak yang sedang belajar ini adalah umpama pekerja yang membina rumah itu. Kebanyakan dari awak tak tau bahawa ‘rumah’ yang awak sedang buat ini adalah ‘rumah’ untuk diri awak sendiri. Bukan untuk mak dan ayah awak. Mak dan ayah awak suruh awak belajar bukan untuk kesenangan mereka. Mereka suruh awak belajar sebab mereka tidak mahu awak hidup susah selepas mereka tiada di dunia ni nanti. Bukan juga untuk orang lain. Bukan untuk saya. Bukan sebab awak takut pensyarah marah. Ia untuk awak.

“Sebab itu logiknya saya tak perlu marah awak bila awak ponteng kelas. Awak patut tahu sendiri bila awak ponteng kelas awak yang rugi. Tertinggal pelajaran. Nanti bila exam tak boleh jawab. Saya tak rugi apa-apa. Gaji saya tak kena potong pun kalau awak ponteng kelas atau awak gagal perperiksaan. Sepatutnya saya tak perlu marah awak kalau awak ponteng, kalau awak gagal. Tapi kenapa saya marah? Sebab saya taknak awak rugi nanti! Saya taknak awak menyesal! Nanti ‘rumah’ yang awak bina tu nanti tak cantik!

“Sebab awak sekarang tengah khayal, awak tak tau pun yang ‘rumah’ yang awak sedang bina itu adalah untuk diri awak sendiri! Saya terpaksa memberitahu awak ‘Hei, hati-hati! ‘Rumah’ yang awak sedang bina ni nampak teruk! Hei, ‘rumah’ ni awak yang nak duduk nanti! Bukan saya yang nak duduk! Faham tak ni?”

“Faham Encik Aqif!”’

“Betul faham ni?”

“Betul sir!”

“Awak tahu tak dalam cerita tu bos orang itu tak bagitau awal-awal yang rumah yang dia bina itu akan dihadiahkan untuk dirinya sendiri. Kalau bos dia bagitahu awal-awal mungkin orang itu akan bina rumah itu dengan cantik. Tapi oleh kerana dia tidak tahu bahawa rumah itu adalah untuk dirinya sendiri, dia buat rumah itu tidak cantik, bukan kerana dia tidak bagus tapi kerana dia tidak bersungguh-sungguh kerana hatinya sudah ingat untuk bersara.

“Tapi pada hari ini saya adalah bos yang baik. Saya bagitahu awak awal-awal lagi bahawa ‘rumah’ yang saya suruh awak bina ini adalah untuk awak. Awak yang akan duduk di ‘rumah’ yang awak bina ini. Saya bagitahu awak pada hari ini, dalam kelas awak yang pertama ini, bahawa apa sahaja yang akan awak usahakan dalam kelas ini, bila awak belajar, bila awak jawab perperiksaan, bila awak buat tugasan, semuanya adalah untuk diri awak sendiri, bukan untuk saya. Jadi, tolonglah bina ‘rumah’ awak ini dengan secantik-cantiknya. Supaya awak selesa duduk di dalamnya nanti.”

Satu hari Aqif masuk ke kelas dengan wajah suram. Di tangannya ada kertas skrip jawapan perperiksaan pertengahan semester pelajar-pelajar dalam kelasnya itu.

“Awak ingat lagi saya cerita dekat awak dulu tentang tukang buat rumah yang nak bersara dan kena siapkan rumah terakhir dulu? Ingat lagi tak?”.

“Ingat sir!”

“Saya dah habis menanda kertas perperiksaan pertengahan semester awak. Saya rasa ramai di antara awak ni yang ‘rumah’ yang awak bina ni macam nak senget, ada yang ‘rumah’nya macam nak roboh, ada yang macam ‘rumah’ terbengkalai.”

Pelajar-pelajarnya terdiam. Mereka tahu Encik Aqif tidak berpuas hati dengan keputusan perperiksaan pertengahan semester mereka.

“Saya dah bagitahu awak banyak kali supaya awak sentiasa berusaha, bekerja keras. Setiap yang awak usahakan adalah untuk diri awak sendiri. Bukan untuk saya dan bukan untuk orang lain. Itu saya dah ulang banyak kali.”

Dan pada kelas yang terakhir di hujung semester Aqif akan menyampaikan amanat terakhirnya pada pelajar-pelajarnya sebelum mereka melalui perperiksaan akhir semester. Pada waktu itu Aqif akan menjelaskan segala rasional tindakannya selama satu semester mereka berada di dalam kelas itu.

Memang Aqif suka melakukan tindakan yang pelik. Hingga ada pelajar yang kata dia kejam. Malah ada yang kata dia ‘lecturer gila’. Dia mahu pelajar-pelajarnya faham mengapa dia bertindak begitu. Di saat pensyarah-pensyarah lain mempamerkan markah ujian atau carrymark dengan hanya meletakkan nombor matriks sahaja supaya tidak memalukan pelajar-pelajar, Aqif memaparkan dengan nama. Memang tujuannya supaya pelajar-pelajarnya malu bila mereka mendapat markah yang rendah dan nama mereka dilihat orang ramai di papan kenyataan. Bukan untuk memalukan mereka tetapi supaya mereka bekerja keras supaya tidak memalukan diri sendiri.

“Satu ketika masa saya di sekolah dulu kelas pendidikan jasmani kami diajar oleh seorang guru bola sepak yang sangat tegas. Nama dia cikgu Jalil. Walau pun biasanya kelas PJ ini paling ditunggu-tunggu oleh pelajar tapi cikgu ni telah menjadikan kelas PJ kami satu mimpi ngeri. Pada permulaan kelas pendidikan jasmani selepas kami melakukan senaman regangan cikgu saya itu akan menyuruh kami melakukan aktiviti berlari keliling padang beberapa pusingan. Kemudian dia kata siapa yang ada di belakang sekali pelajar itu kena berlari satu pusingan lagi. Awak bayangkan, kalau pelajar yang terakhir sekali tentu dia tidak fit. Sudahlah tidak fit kena tambah lagi satu pusingan. Kerana takut jadi yang terakhir saya dan kawan-kawan pun berlari sekuat hati dalam ketakutan supaya tidak jadi yang terakhir.

“Jadi dari kejadian itu saya tahu bahawa rasa takut dan malu akan memberi satu kuasa dalam diri kita untuk melakukan tindakan paling maksimum. Umpama kamu dikejar anjing, kamu akan berlari sekuat hati lebih dari yang biasa kamu lakukan. Sebab tu saya papar keputusan ujian kamu beserta nama kamu di papan kenyataan. Itu tujuan saya. Kalau kamu rasa cara saya ni kejam, kamu nak simpan rasa marah pada saya kerana cara saya ni saya terima. Iya saya kejam. Saya cuma nak buat supaya kamu bekerja keras untuk belajar. Sebab bila kamu keluar dari kolej dan keluar ke alam pekerjaan kamu akan berhadapan dengan situasi yang lebih kejam. Nanti pada masa itu kamu akan berterima kasih kepada saya kerana pernah mengajar kamu makna kejam supaya kamu jadi biasa dan tidak terkejut dengan kekejaman di alam pekerjaan nanti”

Di hujung ucapan akhirnya itu Aqif berkata pada pelajar-pelajarnya di dalam kelas itu:

“Dalam hidup kita ni jika kita berjaya ramai orang akan dengki kepada kejayàan kita. Tapi ada dua golongan manusia sahaja yang tidak dengki sekiranya awak berjaya iaitu ibu bapa awak dan guru awak. Berjayalah sertinggi mana pun, mak-ayah dan guru-guru kita tak akan pernah rasa dengki pada kita walau pun kita lebih berjaya dari mereka. Malah mereka akan rasa bangga. Kejayaan itu untuk diri kamu. Saya akan tetap bangga melihat kamu berjaya di alam pekerjaan nanti walau pun masa itu mungkin kamu sudah lupa pada saya.”

Sekarang mereka sudah berkerjaya. Mereka sudah menamatkan pengajian mereka. Mereka sudah menuai segala yang mereka tanam dulu. Hasil yang mereka dapat adalah berbaloi dengan kesusahan dan kegigihan mereka menuntut ilmu dulu. Pada masa ini mereka telah melihat sendiri ‘rumah’ yang mereka telah bina. Mereka sudah pun duduk berdiam di dalam ‘rumah’ yang mereka bina sendiri. Ada yang ‘rumah’nya besar dan cantik. Ada yang ‘rumah’nya sederhana sahaja. Ada yang ‘rumah’nya sempit. Ada yang ‘rumah’nya retak. Ada yang gagal membina langsung ‘rumah’ untuk diri mereka sendiri. Semua itu adalah hasil usaha tangan-tangan mereka sendiri. Sekiranya mereka marah yang seharusnya mereka marah ialah diri mereka sendiri.

“Qif! Hei Qif!” Fadaly memanggil-manggil Aqif.

“Eh! Hehehe…” Aqif tertawa kecil sebaik tersedar dari lamunannya.

“Lama kau mengelamun. Aku perhati je. Hahaha”

“Terkenang kisah lama.”

“Dah lah….”

“Fad, kau rasa pelajar-pelajar aku dulu tu ingat aku lagi tak?” tanya Aqif.

Fadaly hanya tersenyum. Aqif sendiri tidak tahu jawapannya, inikan pula Fadaly. Aqif teringat bait-bait dalam lagu ‘Biarku Menjadi Lilin’ : –

Biar masa berganti, dan kau terus mendaki, aku senang di sini dengan sabar menanti tanpa dendam dan benci, andainya kau terjatuh terluka dan tersungkur ku rawat biar sembuh. Aku takkan bertanya apakah nanti balasannya setiap pengorbanan, setiap pemberian demi satu ikatan. Keikhlasan di hati walau pun sering kau ragui. Pada suatu masa dan suatu ketika akan ketara jua.

Selamat Hari Guru buat semua guru Malaysia!

Ibnu Janie adalah Ketua Editor Pusat Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Lajnah Penerangan PAS Melaka 

 

 


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)