Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al-Quran Surah Al-Ahzab: Siri 26

130
SHARE

📓📓 Tadabbur Al-Quran 📓📓
Surah Al-Ahzab: Siri 26

Ayat 60-62: Ancaman dan Balasan Terhadap Orang-Orang Munafik

🖋️ Firman Allah serta terjemahannya:

لَّئِن لَّم يَنتَهِ المُنٰفِقونَ وَالَّذينَ في قُلوبِهِم مَّرَضٌ وَالمُرجِفونَ فِي المَدينَةِ لَنُغرِيَنَّكَ بِهِم ثُمَّ لا يُجاوِرونَكَ فيها إِلّا قَليلًا

Demi sesungguhnya, jika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya (syak ragu-ragu) serta orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di Madinah itu tidak berhenti (dari menyakitimu), nescaya Kami akan perintahkan engkau (memerangi mereka); kemudian mereka tidak lagi menjadi tetanggamu (di Madinah) kecuali sebentar.

مَّلعونينَ ۖ أَينَما ثُقِفوا أُخِذوا وَقُتِّلوا تَقتيلًا

dalam keadaan terlaknat. Di mana saja mereka dijumpai, mereka akan ditangkap dan dibunuh tanpa ampun.

سُنَّةَ اللهِ فِي الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلُ ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللهِ تَبديلًا

Sebagai Sunnatullah yang (berlaku juga) bagi orang-orang yang telah terdahulu sebelummu dan engkau tidak akan mendapati perubahan pada Sunnatullah.

📖 Tafsir ringkas:

1. Ayat sebelum ini mengandungi perintah Allah SWT agar para muslimah menutup aurat mereka supaya mudah dikenali. Dalam ayat 60, Allah SWT mengancam orang-orang munafik, orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya, dan orang-orang yang menyebarkan berita palsu di Madinah. Ancaman tersebut adalah sekiranya mereka tidak berhenti mendustakan Allah, menyakiti RasulNya dan kaum mukminin, nescaya Allah akan memerintahkan supaya Nabi SAW memerangi dan mengusir mereka sehingga mereka tidak dapat lagi hidup di Madinah.

2. Dalam ayat 61 pula, Allah SWT menggambarkan keadaan golongan-golongan yang disebutkan itu bahawa mereka jauh daripada rahmat Allah sehingga Allah menghalalkan darah mereka. Mereka akan dikejar, ditangkap dan dibunuh kerana sikap mereka yang sering bermusuh-musuhan dan merugikan agama dan negara.

3. Dalam ayat 62 pula, Allah SWT menyatakan bahawa sunnatullah inilah yang berlaku kepada orang-orang terdahulu sebelum diutuskan Nabi Muhammad SAW iaitu kaum-kaum terdahulu yang akhirnya dibalas dan diazab kerana sikap mereka yang ingkar terhadap risalah yang disampaikan oleh para rasul mereka.

🎀 Pengajaran:

1. Kita sewajarnya merasa gerun dengan ancaman yang diberikan oleh Allah SWT terhadap golongan munafik. Oleh itu, kita hendaklah menjauhi sikap dan perbuatan orang munafiq yang digambarkan dalam ayat di atas agar terhindar daripada kemurkaan Allah SWT.

2. Orang-orang beriman mestilah berhati-hati dan cermat dalam menyampaikan maklumat dan informasi agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar.

3. Konsep tabayyun yang dianjurkan oleh agama Islam dalam menerima dan menyampaikan sesuatu berita amat penting untuk diamalkan oleh semua orang terutama golongan yang terlibat dalam gerakan Islam. Ini kerana, sekiranya ia gagal diamalkan, dikhuatiri ia akan mendatangkan fitnah yang besar kepada agama Islam itu sendiri.

4. Umat Islam perlu bertegas dalam menegakkan perkara yang benar terutamanya jika ia melibatkan hukum-hukum Islam.

📚 Rujukan:
1) Tafsir Ibnu Kathir
2) Tafsir Fi Zilalil Quran

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
19 Mei 2020/ 26 Ramadhan 1441