Home Melaka

Celoteh Hang Luku | Apa cerita bos SPRM ni?

250
SHARE

Oleh HANG LUKU

Mengapa perlu parking di akaun CDS Azam?

RABU lepas Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) telah membuat satu sidang media berkaitan isu akaun saham milik Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Isu ini didedahkan seorang aktivis anti-rasuah dan bertambah gempar apabila salah seorang daripada ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM, Edmund Terence Gomez meletak jawatan kerana mendakwa permintaannya agar kes ini disiasat tidak dihiraukan.

Pada sidang media ini Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, melalui penjelasan yang dibuat Azam melalui mesyuarat khas pada 24 Disember itu, LPPR berpuas hati dan mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah dan conflict of interest dalam isu itu.

Kata Abu Zahar, saham itu sebenarnya milik adik Azam Baki iaitu Nasir Baki yang dibeli menggunakan akaun CDS Azam. Tidak diterangkan pula latarbelakang Nasir Baki ini. Hang Luku cuba cari di Google. Yang Hang Luku jumpa Nasir Baki ni seorang ahli korporat.

Tan Sri Azam Baki

Hang Luku cuba juga memahami apa yang berlaku. Cuba juga cari-cari maklumat daripada laporan-laporan media yang berbeza berkaitan sidang media itu, kot-kot ada yang melaporkan maklumat lebih detail, malangnya semuanya hampir sama. Tidak menyeluruh dan tidak jelas maklumat yang diberikan.

Bagi Hang Luku berdasarkan cerita yang didedahkan pada sidang media itu sahaja, Hang Luku nampak penjelasan apa yang berlaku pada Azam itu banyak yang pelik dan misteri.

Fakta bahawa segala saham yang dibeli melalui akaunnya itu adalah milik adiknya Nasir, adalah kurang masuk akal. Mengapa perlu adiknya membeli saham menggunakan akaun CDSnya?

Azam seorang penjawat awam yang merupakan Ketua Pesuruhjaya SPRM. Sebuah agensi kerajaan yang sangat sensitif. Dia tidak boleh memiliki kekayaan yang luar biasa. Malah kerja Azam itu sendiri untuk menangkap mana-mana ahli politik atau penjawat awam yang memiliki kekayaan luar biasa.

Sementara adiknya Nasir adalah seorang tokoh korporat yang tidak ada halangan untuk membeli aset atau mengumpul kekayaan sebanyaknya.

Apa perlunya dia terpaksa menggunakan akaun Azam? Biasanya seseorang itu ‘parking’ aset miliknya kepada seseorang proksi kerana dia tidak dibenarkan melakukannya. Apa yang menghalang adiknya untuk membeli saham dengan akaunnya sendiri? Dia bukan penjawat awam.

Logiknya Azam yang membeli saham menggunakan akaun CDS adiknya kerana Azam tidak boleh memiliki kekayaan luar biasa. Barulah masuk akal.

Sekiranya ada sesuatu halangan yang menyebabkan adiknya itu perlu parking saham itu di akaunnya, mengapa kata Azam dia telah pun memindahkan saham-saham itu ke akaun adiknya. Eh, boleh pula adiknya pegang saham itu atas namanya sendiri?

Nota tapak kaki : Sayangkan adik kaki-kakikan….

Nak saman pemberi maklumat?

DALAM masa yang sama Azam katanya mahu saman orang yang mendedahkan perkara ini iaitu seorang wartawan bernama Lalitha Kunaratnam.

Perkara ini didedahkan oleh mantan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Edmund Terence Gomez bahawa individu yang mendedahkan perkara ini kini berdepan tindakan saman RM10 juta.

Lalitha, seorang ‘whistle blower’ dan aktivis anti-rasuah, telah mendedahkan perkara ini melalui dua artikel yang ditulisnya. Dia menulis dua bahagian artikel, disokong oleh dokumen yang boleh diakses secara umum, memperincikan dakwaan pemilikan berjuta-juta saham Azam dalam dua syarikat tersenarai awam.

Ini telah membangkitkan kemarahan orang ramai yang menuntut jaminan yang pernah diberi Azam sendiri suatu masa dahulu bahawa pemberi maklumat rasuah akan sentiasa dilindungi. Jadi, apa cerita?

Nota tapak kaki : Bila kena batang hidung sendiri nak saman pulak??

Suruhanjaya Sekuriti pula bersuara

SEHARI selepas Azam Baki menjelaskan bahawa saham-saham yang dimilikinya itu sebenarnya milik adiknya, pada Khamis, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pula mengeluarkan kenyataan meminta semua pihak terlibat termasuk Azam untuk memberi penjelasan serta mengesahkan kenyataan yang dibuat, selain mengumpul sebarang bukti yang berkaitan.

Melalui kenyataan itu SC telah mengesahkan pemilikan saham hanya dibenarkan di bawah nama individu yang memiliki akaun sekuriti tersebut di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Sementara Seksyen 29 (A) SICDA juga, menurut kenyataan itu, mewajibkan hal ehwal akaun sekuriti hanya dapat diubah pemilik yang menerima manfaat atau penama yang diberi kuasa.

Nak komen pun tak boleh. Macam yang Hang Luku cakap, Azam tak beritahu cerita yang detail dalam sidang media itu apa yang sebenarnya berlaku kenapa adiknya membeli saham menggunakan akaun CDSnya itu. Tunggu jelah siasatan SC.

Nota tapak kaki : Harap SC dapat siasat dengan telus

Letih dengan isu integriti

HANG LUKU rasa memang letih betul dengan isu integriti ni. Ingatkan pemimpin dan parti yang korup dah jatuh tak ada lagilah isu integriti ni. Tapi macam tak ada perubahan.

Apa yang Hang Luku nak cakap seterusnya ni bukan tuju pada Azam Baki. Kita pun tak tahu dia bersalah atau tidak. Hang Luku nak bercakap secara umum sahaja.

Bagi Hang Luku memang isu integriti, rasuah dan penyelewengan ini bukan hanya pada orang politik kerajaan sahaja tetapi juga kepada penjawat awam.

Penjawat awam janganlah marah pada Hang Luku. Kita nak betulkan segala yang salah. Mana yang buat salah kena ambil tindakan. Tumpuan isu integriti ini harus seimbang kepada orang politik dan penjawat awam sekali.

Maaflah, bagi Hang Luku sebenarnya isu rasuah di Malaysia ini masih kritikal. Belum nampak perbezaannya lagi. Masih macam dulu.

Harap-harap Azam Baki dapat buktikan dia tidak bersalah melalui proses undang-undang. Biar pihak berkuasa menyiasat. Baik juga jika sepanjang tu Azam bercuti.

Hang Luku cuma bayangkan jika benarlah Azam bersalah dalam kes ini betapa buruknya situasi korupsi dalam negara kita apabila ketua kepada organisasi mencegah rasuah adalah perasuah juga. Itu jika dia memang bersalahlah. Harap-harap tidak.

Nota tapak kaki : Semoga Allah SWT lindungi negara kita daripada kehancuran kerana korupsi dan koruptor busuk!