Home Berita PAS Melaka

Celik ekonomi : Cara mudah memahami apa itu dasar fiskal dalam belanjawan (Bahagian 2)

14734
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

DALAM siri yang lepas penulis telah menerangkan tentang apa itu ‘dasar fiskal’ dan peranan asas dasar ini untuk mengatasi dua masalah ekonomi yang sering dihadapi oleh sesebuah negara iaitu kemelesetan ekonomi dan inflasi.

Kita telah membincangkan dengan terperinci dalam siri lepas bagaimana kerajaan menggunakan dua ‘alat dasar fiskal’ iaitu yang pertama ‘cukai’ dan yang kedua ialah ‘perbelanjaan kerajaan’ untuk mengatasi masalah kemelesetan ekonomi iaitu dengan mengurangkan cukai dan meningkatkan perbelanjaan kerajaan. Strategi ini kita panggil sebagai ‘strategi fiskal mengembang’.

Untuk menampung peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan terpaksa berhutang untuk menampung ketidakcukupan tadi. Walau pun bunyinya seperti tidak baik namun ia terpaksa dilakukan untuk menyelamatkan keadaan.

Dalam siri kali ini kita akan melihat kepada satu lagi masalah ekonomi yang mungkin dihadapi oleh sesebuah negara selain kemelesetan ekonomi iaitu inflasi. Inflasi berlaku apabila berlaku kenaikan harga purata barang-barang di seluruh negara.

Inflasi ini berlawanan dengan kemelesetan. Biasanya pada waktu inflasi tinggi, kadar pengangguran hampir sifar. Maknanya hampir semua rakyat ada pekerjaan. Kerana itu permintaan agregat (permintaan keseluruhan dalam negara) tinggi kerana kebanyakan orang ada banyak wang.

Permintaan agregat melebihi penawaran agregat

Sampai satu peringkat apabila permintaan agregat telah melebihi penawaran agregat (penawaran keseluruhan firma dalam negara) maka harga akan meningkat dan meningkat dan semakin naik melambung-lambung akibat lebihan permintaan agregat ini.

Ini berdasarkan prinsip asas dalam ekonomi bahawa lebihan permintaan akan menyebabkan pengeluar menaikkan harga barang-barang. Lebihan penawaran pula boleh menyebabkan pengeluar menurunkan harga. Situasi lebihan permintaan agregat ini akan menimbulkan bahaya kepada ekonomi negara sekiranya tidak terkawal dengan inflasi yang sangat tinggi.

Perkara yang paling penting dilakukan oleh kerajaan pada waktu ini ialah untuk mengurangkan permintaan agregat bagi mengurangkan inflasi. Permintaan agregat harus diturunkan agar sekurang-kurangnya sama dengan kadar penawaran agregat. Jadi, dalam situasi ini kerajaan biasanya akan menggunakan ‘strategi fiskal menguncup’ iaitu dengan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan meningkatkan cukai atau memperkenalkan cukai baharu.

Tingkatkan cukai, kurangkan permintaan agregat rakyat di saat inflasi

Dengan meningkatkan cukai atau memperkenalkan cukai baharu, kerajaan dapat mengurangkan kuasa beli rakyat untuk berbelanja. Kerajaan juga akan mengurangkan pembelian dan projek-projek infrastruktur baharu. Ini akan mengurangkan permintaan agregat dalam negara dan seterusnya akan menurunkan inflasi dan menstabilkan ekonomi semula.

Sebagaimana yang telah kita bincang sebelum ini bahawa dasar fiskal inì digunakan untuk mengatasi dua masalah besar yang biasa berlaku terhadap ekonomi sesebuah negara iaitu kemelesetan ekonomi dan inflasi.

Inflasi adalah hujung sebelah kiri dan kemelesetan berada di hujung sebelah kanan. Wujudkah di tengah-tengahnya satu keadaan ekonomi yang stabil?

Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak bilangan 2621 bertarikh 1 Februari 2021

 

Benar, memang wujud satu situasi ekonomi yang stabil. Ekonomi yang stabil ialah ekonomi yang bertumbuh namun tidak berlaku inflasi yang tinggi, kadar pengangguran sangat rendah. Biasanya dalam situasi ini kerajaan akan mengambil pendekatan ‘belanjawan berimbang’ dalam dasar fiskalnya.

Jadi, dalam situasi ini secara fiskal, kerajaan akan berbelanja sama banyak dengan hasil yang akan dikutip. Kerajaan biasanya tidak menaikkan cukai dan mengekalkan kadar dan regim cukai sedia ada, juga tidak memperkenalkan cukai baharu. Matlamat pada waktu ini ialah untuk mengekalkan kestabilan itu.

Ekonomi negara umpama penghidap diabetis

Namun begitu ekonomi yang berkembang dengan baik selepas pulih daripada kemelesetan boleh terbabas kepada inflasi. Sementara ekonomi yang dikuncupkan daripada inflasi dengan dasar fiskal boleh pula boleh terbabas kepada kemelesetan.

Secara analoginya ekonomi ini umpama orang yang menghidap diabetis atau penyakit kencing manis. Jika orang normal apabila mereka mengambil banyak gula kadar gula dalam darah mereka akan naik sedikit. Jika mereka kurang mengambil gula, kandungan gula dalam badan mereka akan kurang sedikit.

Namun, orang yang ada diabetis jika mereka terlebih mengambil gula maka kandungan gula dalam darah mereka akan meningkat tinggi. Jika terlalu kurang mengambil gula, kandungan gula akan jatuh pula dan boleh menjurus kepada Hipoglisemia. Begitulah ekonomi.

Belanjawan Malaysia 2021 Strategi Fiskal Mengembang

Jika kita melihat kepada Belanjawan Malaysia tahun 2021 yang baru dibentang oleh kerajaan pada hujung tahun lepas kita dapat melihat bahawa kerajaan sedang mengaplikasikan ‘strategi fiskal mengembang’ untuk mengatasi krisis ekonomi kesan daripada wabak Covid-19.

Dengan jangkaan hasil yang rendah iaitu sekitar RM236.9 bilion dan perbelanjaan yang sangat besar iaitu RM322.54 bilion akan menyebabkan berlakunya defisit dalam Belanjawan 2021 sebanyak 26.5 peratus atau RM85.64 bilion.

Kerajaan terpaksa berbelanja besar dalam keadaan aktiviti ekonomi dan perniagaan yang terganggu dan tersekat-sekat yang sudah pasti akan mengurangkan keuntungan sektor perniagaan. Dengan kurangnya untung perniagaan dan ramai yang bakal hilang pekerjaan, bermakna kurang cukai yang bakal dikutip.

Pada masa ini kerajaan perlu membantu agar perniagaan tidak terlalu teruk terjejas dan rakyat mampu berbelanja. Sebab itu kerajaan banyak memberi bantuan secara terus seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan subsidi upah.

Jadi dengan ‘strategi fiskal mengembang’ ini, ia dapat membantu menyelamat dan merancakan ekonomi. Ia juga untuk mengelakan ekonomi daripada lumpuh. Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Malaysia ini sebenarnya hampir sama dengan apa yang dilakukan oleh sesebuah negara yang terlibat dengan peperangan.

Penulis adalah Ketua Unit Berita dan WARM Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Masjid Tanah Melaka.



PAU USTAZ

AGEN MASJID TANAH TEPEN FROZEN YONG TAU FOO