Home Berita PAS Johor

Cadangan Maharani Energy Gateway di Muar

336
SHARE

Oleh SHARIFAH AJIL

JOHOR BAHRU, 25 Jun : Maharani Energy Gateway merupakan cadangan untuk membangunkan hab tenaga lestari serantau dan pelabuhan laut dalam.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada soalan lisan yang diberi oleh Abd Aziz Talib (PAS – Maharani) dalam Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang ke 15.

Tambah beliau, “Ia merupakan pembangunan berasaskan perindustrian yang terdiri daripada pelbagai aktiviti maritim.

“Ini termasuklah penstoran minyak dan gas, operasi Ship to Ship, perdagangan bunker, industri petrokimia, loji janakuasa dan operasi pelabuhan laut dalam membaik pulih perkapalan dan perkhidmatan logistik marin.

Lokasi tapak cadangan adalah terletak di Mukim Bandar (Plot A), Mukim Parit Bakar (Plot B), Mukim Sri Menanti (Plot C) dan Mukim Sungai Balang (Plot D) yang melibatkan pembangunan berjumlah 3,349.48 ekar.

Pembangunan ini dijangka memberikan kesan jangka masa panjang terhadap negeri Johor yang meliputi limpahan positif dalam tempoh 10 tahun.

“Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil 02/2021 yang bersidang pada 6 Julai 2021 telah bersetuju terhadap Projek Pembangunan Maharani Energy Gateway ini.

“Sehubungan itu, keperluan pengubahan bagi Rancangan Struktur Negeri Johor dilakukan bagi menyelaras pembangunan berimpak tinggi terutamanya menjadikan Muar sebagai kluster minyak dan gas serta menperkasa sektor ekonomi sekunder ini, ” ujar beliau lagi.

Sementara itu, dalam jawapannya kepada soalan ADUN Maharani itu berkenaan premis perniagaan di kawasan masjid dan surau, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Mohd Fared Mohd Khalid menyatakan kerajaan negeri sangat prihatin dari sudut pengimarahan masjid dan surau.

“Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian masjid dan surau yang mempunyai premis perniagaan didapati tidak mematuhi peraturan seperti tidak menjaga kebersihan premis.

“Di samping itu ada juga berlaku pertelingkahan di antara jawatakuasa masjid dan surau dalam pembahagian keuntungan hasil perniagaan. Terdapat juga pengunjung premis yang tidak menjaga etika berpakaian ketika berada di kawasan masjid.

“Sehubungan itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 13 Julai 2021 telah menitahkan agar tidak ada lagi premis atau ruang niaga di kawasan masjid atau surau bagi urusan perniagaan. Manakala premis yang masih ada diarahkan ditutup, ” tambah beliau lagi.

Menurut Mohd Fared (BN – Semerah), satu mesyuarat bersama Kadi-kadi Daerah telah diadakan, dipengerusikan oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor berhubung perkara berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian.

Hasilnya, dicadangkan supaya premis dibangunkan di luar kawasan masjid dan surau tetapi masih dalam tanah wakaf masjid dan surau. Jawatankuasa juga masih boleh meneruskan perniagaan di premis lain seperti rumah kedai dengan bantuan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atau secara online.

Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Dewan Negeri Johor ke 15 telah dirasmikan oleh Sultan Johor pada 16 Jun lalu di Dewan Negeri Johor, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

Persidangan akhir akan diadakan pada hari Ahad ini, di mana Menteri Besar akan membuat sesi penggulungan.