Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Ramadan: Berbudilah Kepada Alam Sekitar

37
SHARE

Bulan Ramadan bulan mendidik akhlak mulia: Berbudi kepada alam sekitar. Bulan Ramadan merupakan bulan yang sangat ditunggu-tunggu oleh setiap umat Islam tidak mengira umur, pangkat dan latar belakang pendidikan.

Setiap umat Islam menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan penumpuan ibadah dan kebaikan. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila tiba malam pertama bulan Ramadhan seruan (dari langit) menyeru: Wahai orang yang ingin berbuat kebajikan, teruskanlah (mara berbuat kebajikan), wahai orang yang ingin berbuat kejahatan hentikanlah, bagi Allah melepaskan ramai orang dari neraka. Seruan itu pada tiap-tiap malam.”(Riwayat al-Tirmizi).

Sinonim dengan bulan Ramadan, bazar Ramadan antara tempat yang menjadi tumpuan setiap orang. Selain menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa kepada pengunjung, bazar Ramadan juga menjadi lubuk rezeki kepada peniaga. Berbeza dengan suasana dua tahun lepas, sambutan Ramadan kali ini lebih meriah dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Peralihan fasa ke endemik ini dilihat bakal mengembalikan suasana bazar Ramadan seperti sebelum berlakunya pandemik Covid19. Apa yang menjadi kebimbangan adalah berlakunya lambakan makanan yang akhirnya mengundang pembaziran.

Hasil kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata pada bulan lain. Pada tahun 2021, sekurang-kurangnya 10,000-15,000 tan makanan dibuang setiap hari oleh rakyat Malaysia sepanjang bulan Ramadan ketika negara sedang dilanda pandemik Covid19. Daripada jumlah ini, 3,000 metrik tan adalah makanan yang masih boleh dimakan.

Tidak mustahil angka ini akan meningkat pada Ramadan kali ini kesan daripada kelonggaran SOP. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27).

Lambakan sisa makanan ini bukan sahaja merugikan malah juga menjejaskan alam sekitar. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora), Datuk Mohd Zain Hassan berkata, syarikat pengurusan sampah dan sisa pepejal itu melaporkan peningkatan kutipan sampah di Bandaraya Kuala Lumpur sehingga 32,000 tan pada sepanjang bulan ramadan tahun 2021 berbanding 27,000 tan pada tahun 2020. Sisa makanan dan plastik pembungkus merupakan penyumbang utama kepada peningkatan sampah ini.

Selain mengurangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah, sisa sampah ini memberi kesan yang besar terhadap pemanasan global yang menjadi sebab bencana alam di dunia seperti banjir dan kemarau. Sikap bersederhana dalam berbelanja serta bijaksana mengurus sisa pepejal mampu menyelamatkan dunia dari bencana alam yang besar.

Justeru, bagi menyahut seruan bulan Ramadan bulan keberkatan, Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS ) Dewan Muslimat PAS Malaysia mengajak seluruh rakyat Malaysia menjadikan Ramadan kali ini bulan berbudi kepada alam sekitar dengan mengamalkan kesederhanaan dalam perbelanjaan.

Selamat menyambut Bulan Ramadan Al-Mubarak.

‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’
‘Islam Menyatukan Ummah’

Dr. Salmah Abd Rahman,
Pengerusi Lajnah Asas Tani dan Alam Sekitar (LATAS )
Dewan Muslimat PAS Malaysia