Bingkisan Khas Dewan Ulamak PAS Negeri Johor sempena kedatangan Ramadan Kareem 1440H/ 2019M
السلام عليكم و رحمة الله و بركاته
الحمد لله رب العالمين و به نستعين على أمور الدنيا و الدين
و الصلاة و السلام على رسول
الله الامين و على آله و صحبه أجمعين
Allah swt berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa (Ramadan) sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu (menjadi golongan yang) bertakwa ( al Baqarah: 183)
1. Sama-samalah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT di atas rahmat dan kurniaan-Nya sehingga kita dipertemukan dengan bulan Ramadan yang awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah (keampunan) dan akhirnya pembebasan daripada api neraka. Betapa agung dan mulianya bulan Ramadan sehingga ianya dinanti-nantikan oleh seluruh orang yang beriman di mana jua mereka berada.
2. Kedatangan Ramadan juga menjelaskan kepada kita perintah Allah supaya berlumba-lumba dalam melakukan ibadah dan kebajikan (khairat). Ini termasuklah menghidupkan sunnah Rasulullah SAW melalui ibadah berpuasa di siang harinya, bersedekah, berzikir, menghidupkan malamnya dengan berterawih, tilawah al quran, munajat dan doa. Keseluruhan umat Islam memfokuskan kehidupan mereka untuk melakukan ketaatan dalam bulan ini.
3. Ramadan juga bulan tarbiyah. Tarbiyah dengan pelbagai peringkat jihad. Jihad melawan hawa nafsu, jihad dalam berdakwah, jihad dalam melakukan ketaatan untuk mencapai mardhatillah sehinggalah kemuncak jihad iaitu perjuangan untuk menegakkan agama Allah SWT.
4. Ramadan adalah bulan penyatuan. Penyatuan fikrah, hala tuju dan amal yang akan membangkitkan semangat dan kekuatan untuk membela kesucian Islam daripada dicemari fahaman jahiliah, liberalisme, pluralisme dan isme-isme yang boleh menggugat kesucian aqidah. Penyatuan di atas akidah iman dan amal pastinya akan menguatkan roh dan jiwa muslim.
5. Justeru, sama-samalah kita mengisi bulan Ramadan ini dengan menggandakan ibadah dan taqarrub kepada Allah SWT serta memperbanyakkan infaq ke jalan Allah SWT. Memperkukuhkan ukhuwwah persaudaraan Islam dan memantapkan lagi ilmu pengetahuan.
6. Semoga kedatangan Ramadan pada tahun ini akan mempertingkatkan lagi ketakwaan dan darjat kita di sisi Allah SWT.
Selamat melakukan ibadah puasa. Puasa itu perisai.
#Islam Memimpin Ummah
#Penyatuan Ummah atas Iman
#Istiqamah hingga Kemenangan
#Ramadan Kareem
Ust Hj Azlisham bin Azhar
Ketua Dewan Ulamak Pas Negeri Johor.