Home Berita PAS Kelantan

Bicara Mufti wadah rakyat tanya ulama secara langsung

183
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 11 Jun: Episod pengenalan Bicara Mufti bersama Mufti Kelantan, Sahibus Samahah Dato’ Mohamad Shukri Mohamad yang berjaya memikat ribuan penonton semasa bersiaran semalam, berjaya menjadi wadah soal-jawab masyarakat dengan ulama secara langsung.
Program terbaharu terbitan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) yang menyorot tajuk “Pelaksanaan Ibadat Waktu Darurat” di di pautan https://bit.ly/3ixkEr2 sehingga hari ini mencapai kumulatif 8.1 ribu tontonan.
Pengarah UPKN, YB Ahmad Fathan Mahmood berkata, program “santai tetapi sampai” seperti itu mendedahkan beberapa ilmu dan kaedah baharu yang dapat mendekatkan masyarakat dengan ulama secara langsung. Sekali gus membudayakan ilmu daripada sumber yang berautoriti.
Beliau turut menyokong kenyataan mufti yang menyaran orang awam mempercayai dan yakin dengan setiap arahan kerajaan. Sekiranya, rakyat sudah tidak thiqah (percaya) kepada kenyataan rasmi individu yang berautoriti, maka perbincangan sudah tidak diperlukan lagi. Contohnya, hal tentang pencegahan dan perawatan kesihatan mestilah diambil daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau agensinya. Demikian juga perkara berkaitan hukum mestilah dirujuk kepada pihak yang berautoriti seperti ulama dari Pejabat Mufti Negeri.
Sementara itu, Dato’ Mohamad Shukri juga meminta masyarat memperbetulkan tanggapan isu “masjid ditutup” kepada aktiviti keagamaan di masjid, sebenarnya ia hanya ditangguhkan sehingga wabak reda.
Beliau menjelaskan, masjid masih dibuka dan empat petugas tetap yang berjemaah solat fardu pada setiap waktu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat melepaskan fardu kifayah yang termaktub ke atas seluruh muslimin kerana tujuan ibadah itu murni tetapi jangan sampai memudaratkan.