Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Bersih Rekod SPRM Bukti PAS Sedia Pimpin Kerajaan

2610
SHARE


Kenyataan Media Penerangan. 179/50

26 Jamadil Akhir 1439 / 14 Mac 2018

BERSIH REKOD SPRM BUKTI PAS SEDIA PIMPIN KERAJAAN

Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
https://m.facebook.com/kpenerangan

1. Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan semalam berkenaan jumlah kertas siasatan yang dibuka oleh SPRM dari 2013 hingga 2017, adalah 71 antaranya melibat ahli politik Barisan Nasional (BN) manakala 21 lagi membabitkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) adalah sekaligus satu pengiktirafan kepada PAS.

2. Sepanjang tempoh tersebut, belum ada pemimpin PAS yang disiasat oleh SPRM atas tuduhan rasuah dan lebih daripada itu, sepanjang 28 tahun mentadbir Kerajaan Negeri Kelantan, tiada seorang pun pemimpin PAS disabitkan atas kesalahan itu.

3. Demikianlah keistimewaan yang ada pada PAS kerana mumpunyai sumber manusia yang memiliki nilai kehambahan dan kepatuhan kepada Allah (ubudiyyah), kebertanggungjawaban terhadap agama dan tugasan (mas’uliyyah) serta kesungguhan dan kecekapan (itqan) yang tinggi.

4. Sumber manusia yang memiliki tiga (3) nilai inilah adalah syarat utama bagi melahirkan tadbir urus yang baik bagi sesebuah kerajaan.

5. Malangnya pada hari ini, sektor penjawat awam terus merekodkan kes rasuah dan salah guna kuasa, terutamanya melibatkan pengurusan tertinggi yang mencatatkan peningkatan pada jumlah tangkapan sebanyak 71% pada 2017.

6. BN dilihat sama ada gagal memberikan jawatan kepada manusia yang betul atau sistem BN telah merosakkan manusia yang pada awalnya betul.

7. PH pula yang kononnya menjulang prinsip cekap, akauntabiliti dan telus juga tidak bebas daripada dikaitkan dengan kes rasuah. Berdasarkan rekod ini, sukar sekali PH akan bebas rasuah sekiranya diberikan mandat pemerintahan nanti. Oleh itu, dalam masalah ini, boleh dikatakan BN dan PH serupa walau tidak sama.

8. Justeru, PAS yang sehingga kini masih bersih rekod SPRM, adalah bukti bahawa PAS layak dan bersedia untuk memimpin kerajaan dengan tadbir urus yang baik sekaligus memacu negara ke arah Malaysia Sejahtera.

Sejahtera Bersama Islam

Sekian.