PASIR MAS, 7 September: Statistik daripada tahun 2017 sehingga Ogos 2022 yang dilaporkan oleh Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 106,764 Internet Protocol (IP) yang berdaftar di Malaysia telah membuat perkongsian pornografi kanak-kanak.
Manakala eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak dilihat semakin meningkat terutamanya bagi kesalahan yang melibatkan perkongsian dan capaian kepada bahan pornografi kanak-kanak.
Demikian ucapan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat YB Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof ketika merasmikan Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-Kanak Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, semalam.
Menurutnya, kempen tersebut bertujuan memberi kefahaman kepada kanak-kanak tentang penggunaan media sosial secara bijak dan selamat di samping memberi kesedaran kepada ibu bapa dan masyarakat berhubung penggunaan media sosial kepada kanak-kanak.
“Usahasama daripada pelbagai pihak termasuk semua agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan dan Syarikat Korporat amat penting dalam memastikan kempen ini berjaya.
Ibubapa atau penjaga juga harus peka dengan perkembangan teknologi terkini di samping sentiasa mengawasi penggunaan media sosial anak-anak mereka kerana tinjauan yang dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut mendapati tahap kesedaran kawalan ibu bapa terhadap penggunaan internet anak-anak menurun daripada 62.5 peratus pada tahun 2018 kepada 53.3 peratus pada tahun 2020,” katanya.