Home Berita PAS Kedah

Berikan walak kepada nakhoda untuk mengepalai parti

57
SHARE

OLEH: ROZAIDI TAIB

SUNGAI PETANI, 7 NOV– Berikan walak yang sepenuhnya kepada Presiden PAS selaku nakhoda bagi mengepalai dan mengeluarkan sebarang kenyataan mewakli parti dan tidak perlu terlalu ramai jurucakap yang menatijahkan kekeliruan kepada ahli PAS.

Ini dinyatakan Bendahari PAS Kawasan Merbok, Haji Ahmad Fauzi Ramli ketika memberi komen atas ucapan Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Ustaz Ahmad Fadlhi Shaari yang menyatakan perlu diberi ruang yang sepenuhnya kepada Tuan Guru Presiden untuk mengemudi parti.

Beliau ditemui semasa menghadiri Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-67  memasuki hari kedua yang diadakan secara hibrid di The Jerai Hotel di sini, hari ini.

“Ada dua perkara penting  dalam PAS iaitu PAS sebuah organisasi yang perlu berdaftar dengan pihak Pendaftar Pertubuhan untuk membolehkannya bergerak secara legal dan satu lagi yang terpenting ialah PAS ini selaku Harakul Islamiyyah atau gerakan Islam.

“Jadi asas kita ialah walak, walak kita kepada pimpinan, itu penting. Jadi dalam soal ini saya amat bersetuju dengan ucapan Ketua Pemuda PAS Pusat tadi bahawa dalam menangani apa jua masalah-masalah dalam parti sewajar dan semestinya walak dan penyerahan kepada nakhoda utama parti itu penting,” katanya.

Bekas calon PAS untuk parlimen Merbok pada PRU-14 lalu itu menegaskan selaku Presiden parti yang telah banyak pengalaman , Tuan Guru lebih memahami situasi politik peringkat tertinggi serta selok beloknya.

“Dalam situasi kepelbagaian politik dan mehnah ni kalau ramai di kalangan kita mengambil sikap untuk bersuara dan memberi pendapat seolah-olah nakhoda  kedua maka akan menimbulkan masalah.

“Pesan saya untuk diri sendiri dan sesiapa sahaja ahli parti agar gunakan saluran yang sewajarnya untuk menyuarakan sebarang permasalahan dan pendapat,” kata Ahmad Fauzi yang juga Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani.

Ketika ditanya tawaran Setiausaha Agung PAS Pusat agar Kedah menjadi tuan rumah untuk Muktamar Tahunan PAS ke-68 tahun hadapan beliau menyatakan kesediaan bagi penganjuran tersebut memandangkan PAS Kedah telah berpengalaman mengendalikan program tersebut sebelum ini disamping kerja-kerja untuk menyiapkan Kompleks PAS Kedah sebagai venue utama telah hampir mencapai sasarannya.