Home Berita PAS Wilayah

Usul Dana Politik dibentang Titiwangsa lulus sebulat suara

51
SHARE

Usul Dana Politik dibentang Titiwangsa lulus sebulat suara

Oleh NURUL NADIYAH

TITIWANGSA, 7 Nov: Usul berkaitan Dana Politik yang dicadangkan oleh Kawasan Titiwangsa pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 diluluskan sebulat suara oleh semua perwakilan semalam.

Yang diPertua PAS Kawasan Titiwangsa, Ustaz Mohd Suhaimi Abdul Aziz ketika membentangkan usul berkenaan menjelaskan bahawa setiap parti politik memerlukan dana yang besar setiap kali menghadapi pilihan raya.

“Parti yang menguasai kerajaan memiliki kelebihan untuk menggerakkan dan optimumkan dana parti. Manakala, parti pembangkang pula bersusah payah mencari dana untuk menyertai pilihan raya seperti mana yang pernah dilalui sendiri oleh PAS.

“Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 melarang amalan rasuah semasa kempen pilihan raya serta
menetapkan had perbelanjaan kempen bagi setiap calon iaitu RM200,000 bagi kerusi parlimen dan RM100,000 bagi kerusi negeri. Bagaimanapun akta berkenaan tidak meliputi perbelanjaan oleh
parti politik sebagai sebuah entiti.

“Di dalam Akta Pertubuhan 1960 pula, parti politik dikehendaki menyerahkan penyata kewangan yang telah diaudit kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS). Namun demikian, mereka tidak perlu mendedahkan sumber sumbangan yang diterimanya sekaligus menunjukkan tiada ketelusan,” ujarnya.

Berdasarkan hal tersebut, beliau mewakili PAS Kawasan Titiwangsa mencadangkan usul Pembahagian Dana Yang Adil Kepada Parti Politik Dan Menggubal Akta Dana Politik dengan mengusulkan tiga solusi utama untuk diambil perhatian.

“Solusi pertama, pembahagian dan peruntukan dana daripada kerajaan kepada semua parti politik yang
berdaftar di bawah ROS termasuklah parti pembangkang mengikut kuota yang diperuntukkan.

“Solusi kedua, membenarkan syarikat korporat menyumbang tetapi perlu diisytihar kepada Lembaga
Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk pengecualian cukai dan mengekalkan ketelusan.

“Solusi ketiga, menggubal Akta Dana Politik di Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum kali ke-15 (PRU 15),” cadangnya.

Usul ini telah disokong oleh Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia sebelum dipersetujui secara sebulat suara oleh semua perwakilan yang hadir.