Home Ketua Penerangan PAS Pusat

Berikan Kerjasama, Usah Polemikkan Pelan Kerajaan Menangani Covid-19

492
SHARE

Kenyataan Media
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Berikan Kerjasama, Usah Polemikkan Pelan Kerajaan Tangani Covid-19

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Hj Mohd Yassin menangani penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

Terkini, pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac 2020 memperlihatkan Kerajaan begitu pro aktif membendung wabak pandemik ini.

Ia juga amat bertepatan dengan saranan Rasulullah S.A.W dalam beberapa Hadith yang terkenal.

Antaranya “Dari Usamah bin Zaid R.A dari Nabi Muhammad S.A.W: “Apabila kamu mendengar berlakunya wabak taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila berlaku dalam negeri kamu berada di dalamnya, maka jangan kamu keluar.” (Muttafaqun ‘Alaih)

Namun, ada pihak yang cuba mempolemikkan isu ini menjadi satu isu politik yang tidak berkesudahan. Tidak dinafikan bahawa ia seolah-olah dilihat untuk menggagalkan usaha pihak kerajaan, sedangkan ia adalah isu negara melibatkan keselamatan rakyat.

Ia turut memberi implikasi ekonomi, sosial malah perancangan pertumbuhan negara turut terjejas.

PAS mengambil sikap supaya tindakan tidak matang ini wajar dihentikan serta merta. PAS sentiasa konsisten dengan pendirian supaya tidak mempolitikkan sesuatu isu dan fokus kepada isu pokok untuk diselesaikan.

Inilah masanya semua pihak berganding bahu menangani isu ini bersama tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum. Patuhi segala arahan serta saranan pihak berkuasa dan dalam masa yang sama tidak lupa kebergantungan kita kepada Allah dengan memberbanyakkan ibadat, doa dan munajat.

Tindakan kita hari ini bakal mencetak sejarah pada masa hadapan.

‘Islam Memimpin Perpaduan’

KAMARUZAMAN MOHAMAD
Ketua Penerangan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
19 Mac 2020 | 24 Rejab 1441