Home Berita Dewan Muslimat PAS Malaysia

Berbaju Kurung, Raja Permaisuri Agong Ikon Wanita Melayu

3051
SHARE

Berbaju Kurung, Raja Permaisuri Agong Ikon Wanita Melayu

AYU, anggun, menawan dan sopan, lambang kegemilangan wanita Melayu, ia ungkapan sesuai dititipkan buat Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda Raja Permaisuri sangat gemar berbaju kurung, selain Baginda turut kelihatan sungguh ayu dan sopan setiap kali mengenakannya.

Perkataan ‘kurung’ secara tidak langsung membawa maksud, ‘mengurung atau menutup’ anggota tubuh.

Hal ini sinonim dengan budaya pemakaian Melayu setelah kedatangan Islam yang banyak mengubah penampilan wanita Melayu menjadi lebih anggun, mencorak budaya ketimuran.

Pemakaian baju kurung melambangkan kesopanan seorang wanita, yang sentiasa berusaha menjaga dan memelihara anggota tubuh daripada terdedah.

Baju kurung menjadi pakaian tradisi wanita Melayu hingga kini yang “tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan” walau ia telah mengalami evolusi dalam reka fesyennya.

Walaupun saban tahun, banyak fesyen baru yang dikeluarkan, namun baju kurung masih menjadi pilihan utama wanita terutama ketika menyambut Aidilfitri kerana rekaannya yang selesa, fleksibel serta sopan.

Selain ianya menjadi etika pemakaian di acara rasmi, protokol istana dan penjawat-penjawat awam kerajaan, ia juga menjadi simbol keanggunan dan kesopanan yang jelas tidak menghilangkan jati diri wanita Melayu.

Baju kurung melalui proses transformasi dari tahun ke tahun untuk disesuaikan dengan trend semasa seperti mini kurung, ‘peplum’, ‘dress’, ‘pantsuit’, ‘blouse’ dan sebagainya.

Justeru Dewan Muslimat PAS Malaysia mengajak seluruh wanita tidak kira bangsa dan kaum untuk sama-sama mengenakan baju kurung bukan sahaja ketika bekerja, atau di majlis rasmi, malah ianya dipakai seperti biasa untuk ke mana sahaja dan ketika melakukan aktiviti santai bersama keluarga dan teman.

Mardhiah Hayati binti Zolkeplai
Pengerusi Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi

Dewan Muslimat PAS Malaysia
4 Ogos 2019 bersamaan 3 Zulhijjah 1440