Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Jangan Gugat Warisan Seni Khat dan Jawi!

260 views
SHARE

Jangan Gugat Warisan Seni Khat dan Jawi!

Tindakan kumpulan pendesak pendidikan Cina, Dong Zong dan Jiao Zong (Dong Jiao Zong) yang akan menganjurkan himpunan membantah pelaksanaan penulisan khat jawi dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular membuktikan mereka tidak memiliki sifat toleransi dan sifat menghormati budaya kaum lain.

Menurut laporan Sin Chew Daily, himpunan itu akan diadakan pada Isnin depan, 5 Ogos 2019 di Ibu Pejabat Dong Jiao Zong, Jalan Bukit, Kajang.

Dewan Muslimat PAS Malaysia menyokong sepenuhnya ketegasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk meneruskan pengenalan tulisan khat ini pada tahun 2020.

Menurut KPM, tulisan khat merupakan warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan. Malah tulisan tersebut juga terdapat pada jata negara, jata negeri-negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia.

Seorang ahli akademik dan juga pejuang bahasa berbangsa Cina, Prof Madya Dr. Lim Swee Tin mengulas bahawa tidak ada sebarang masalah untuk memperkenalkan tulisan khat dan jawi dalam buku teks sekolah.

“Sebelum mengenali rumi, apakah bentuk tulisan yang kita guna? Beratus tahun jawi menjadi dalam peradaban, budaya dan segar di alam Melayu. Memperkenalkannya di sekolah adalah satu keberuntungan”, petikan daripada laman Facebook beliau.

Natijahnya, tulisan jawi dan khat merupakan seni warisan budaya Melayu Islam yang wajib dipelihara kerana boleh menjadi agen perpaduan dan sumber ekonomi yang tinggi kepada rakyat dan Negara amnya.

‘Islam Memimpin Perpaduan’
‘Islam Memimpin, Wanita Sejahtera’

Ustazah Salamiah Mohd Nor
Naib Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia
3 Zulhijjah 1440 bersamaan 4 Ogos 2019