Home Berita PAS Kelantan

Bentuk masyarakat berjaya dunia, akhirat

32
SHARE

PASIR PUTEH, 12 Dis: Berpegang dengan konsep setiap amanah yang digalas pasti akan disoal oleh Allah SWT selepas mati, Ahli Parlimen Pasir Puteh YB Dato’ Dr Nik Zawawi Salleh tekad melaksanakan tanggungjawab yang digalas untuk membina masyarakat Pasir Puteh yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Dalam penggal lalu, kebanyakan program yang dianjurkan di bawah parlimennya menitikberatkan kedua aspek tersebut. Antaranya ialah memberi sumbangan antara RM5,000 hingga RM10,000 kepada pihak masjid dan RM3,000 hingga RM5,000 kepada 262 buah surau yang terdapat di jajahan Pasir Puteh untuk mengadakan program kerohanian atau baikpulih prasarana.

Dalam aspek pendidikan pula, bantuan sekali beri atau oneoff kepada pelajar yang dapat melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam atau swasta turut diberikan, selain daripada menyalurkan bantuan kepada seluruh sekolah yang ada di jajahan Pasir Puteh melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG).

“Sumbangan tahunan berbentuk wang ringgit antara RM2,000 hingga RM4,000 bergantung kepada jumlah pelajar disalurkan kepada semua PIBG sekolah termasuk sekolah kerajaan dan swasta seperti sekolah menengah, sekolah kebangsaan, sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Sekolah Rendah Islam Integrasi (SRITI), Sekolah Menengah Islam Integrasi (SMITI) dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang terdapat di Pasir Puteh,” katanya ketika ditemui di pejabatnya pada 8 Disember lalu.

Menurutnya juga, bagi bantuan baikpulih rumah di bawah Skim Dhuafa’, 92 penerima di jajahan Pasir Puteh telah menerimanya dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.65 juta, manakala bagi baikpulih kerosakan jalan pula, lebih 250 batang jalan telah dibaik pulih di sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di jajahan tersebut.

Tambanya lagi, bukan sahaja dalam tempoh pandemik COVID-19, saluran bantuan kepada mereka yang memerlukan dan menerima musibah atau bencana sentiasa disalurkan di samping mengagihkan lebih 10,000 bakul MAFI Prihatin kepada seluruh masyarakat Pasir Puteh yang memerlukannya tanpa mengira perbezaan politik mahupun ideologi.

Selain itu katanya, untuk menggalakkan lagi usahawan berniaga dan membantu golongan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), modal peruntukan perniagaan melalui TEKUN dan pejabat parlimen turut disediakan dan ianya terbuka kepada sesiapa sahaja untuk memohon.