Home Berita PAS Melaka

Bekalan Air Berjadual Berakhir 1 April Ini – Ketua Menteri Melaka

1121
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MASJID TANAH : Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Sulaiman Md Ali sebentar tadi telah mengeluarkan satu kenyataan media berkaitan dengan ‘Penamatan Program Bekalan Air Berjadual Berkuatkuasa 1 April 2020′.

Menurut kenyataan media tersebut, Kerajaan Negeri Melaka amat prihatin dengan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat Negeri Melaka kerana terpaksa mengharungi situasi catuan ‘Bekalan Air Berjadual’ (BAB) dalam masa yang sama juga terpaksa melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

Pejabat Ketua Menteri Melaka dalam kenyataan media itu menjelaskan, dalam membuat keputusan untuk menamatkan BAB ini, kerajaan mengambilkira aspek taburan hujan dan peratusan paras air di sungai-sungai, kolam-kolam takungan dan empangan di seluruh Melaka.

Kenyataan media itu seterusnya menyebut, berdasarkan maklumat dari Jabatan Mateorologi Malaysia, Kementerian Alam Sekitar, permulaan fasa peralihan monsun telah bermula pada 27 Mac lepas. Dengan peralihan monsun ini dijangkakan Negeri Melaka bakal menerima kadar hujan lebih baik bagi membantu menaikkan paras takungan sedia ada.

Peratus peningkatan Empangan Durian Tunggal (EDT), menurut kenyataan media itu lagi, diunjurkan akan mencapai tahap 43 peratus pada 1 April ini dan dijangka mencapai paras 60 peratus pada minggu ketiga April 2020 iaitu pada paras di mana BAB boleh ditamatkan.

Jelas kenyataan media itu lagi, mengambil kira situasi yang dihadapi oleh rakyat sekarang dan prihatin dengan kebajikan mereka, Kerajaan Negeri Melaka bersetuju agar BAB Zon 1 yang telah dimulakan sejak 29 Januari 2020 dan Zon 2 yang telah dimulakan sejak 10 Mac 2020 DITAMATKAN PADA 1 APRIL 2020.

Namun, kenyataan media itu menyatakan bahawa keputusan ini juga bergantung kepada faktor taburan hujan di kawasan tadahan. Sekiranya taburan hujan menjadi tidak konsisten lalu menyebabkan paras Sungai Melaka dan Sungai Batang Melaka menurun di bawah paras normal, pengguna di Zon 1 dan Zon 2 akan melalui gangguan bekalan air luar jangka iaitu pengguna akan menerima tekanan air yang rendah dan terputus bekalan air. Program BAB mungkin terpaksa diaktifkan semula jika EDT berada pada tahap di bawah 40 peratus dan menunjukkan trend menurun.

Di akhir kenyataan media itu, pihak Pejabat Ketua Menteri Melaka mengucapkan terima kasih atas kesabaran rakyat Melaka selama ini dalam melalui kesukaran ini dan memohon orang ramai agar terus berjimat serta menggunakan air dengan berhemah.