Home Berita PAS Kelantan

Belia ceburi bidang fertigasi dipuji

20
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 1 Jun: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, YB Saiful Adli Abd Bakar memuji dan menyokong usaha para belia Kelantan yang menceburi bidang pertanian mengikut gaya semasa.
Keyakinan beliau tinggi terhadap usahawan tani terpelajar yang mampu menjana pendapatan lumayan dalam industri tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Kelantan (MPUK) berkata demikian ketika sesi bertukar pandangan berkaitan tanaman fertigasi lada solok yang diusahakan Afifi Ahmad bersama adiknya Mohd Rashidi Ahmad, di Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Salor, semalam.
Afifi, siswazah Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Tokyo, Jepun. Manakala Mohd Rashidi pula berkelulusan bidang yang sama dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dungun Terengganu.
“Teknik mempelbagaikan hasil tani melalui kaedah terkini dan kaedah pemasaran gaya baharu melalui platform digital yang diusahakan oleh graduan kejuruteraan tersebut dapat menjadi penanda aras kejayaan pertanian fertigasi pada masa akan datang, lebih-lebih lagi di Salor”, katanya ketika dihubungi.
Beliau juga memaklumkan, MPUK bersedia bekerjasama dengan agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi membantu belia tani tersebut mendapatkan geran atau khidmat nasihat penyediaan produk akhir yang bermutu tinggi untuk pasaran luar negara.