Minda Presiden PAS [Bil: 27 / 2023]
BARAT DAN PBB LEBIH BERSIMPATI KEPADA ZIONIS
Banyak kenyataan terbuka negara Barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) lebih berpihak kepada negara haram Zionis Israel, walaupun Zionis melakukan keganasan secara terbuka terhadap rakyat Palestin dan menceroboh Masjid al-Aqsa tempat suci umat Islam. Kenyataan bersifat kecaman mereka terhadap kelakuan negara haram itu lebih bersifat mujamalah yang berpura-pura semata-mata.
Hal ini demikian kerana, sejarah PBB sendiri adalah terlibat dalam menubuhkan negara haram Israel dengan tujuan yang dirancang serta mempersenjatainya. Maka, sebarang resolusi yang bertindak terhadap negara Zionis oleh Majlis Keselamatan PBB akan dihapuskan dengan kuasa veto yang berada pada pihaknya.
Tindakan tersebut menjadikan PBB dan undang-undang antarabangsa laksana sarang labah-labah yang mudah ditembusi dan dikoyak rabak. Sehinggakan, Zionis yang paling zalim itu boleh melakukan apa sahaja dan memiliki senjata pemusnah yang diharamkan oleh masyarakat antarabangsa yang berperikemanusiaan.
Kenyataan tersebut menegaskan betapa besar pengaruh Yahudi Zionis terhadap semua negara berkaitan dan negara di bawah naungannya melalui pengaruh “money, media, and management” (wang, media, dan pengurusan). Pengaruh ini sangat kuat dipergunakan bagi kepentingan negara haram Israel yang diwajibkannya dengan segala cara dan pendekatan.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, semua agensi media antarabangsa termasuk media baharu, dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa, bahkan PBB dan cabang-cabangnya ternyata sangat kuat berada di bawah pengaruh Zionis, sehingga mengacau demokrasi yang menjadi kebanggaan mereka. Hal ini demikian kerana, semua parti dan calon yang mahu menang memerintah negara wajib menunjukkan simpati yang berlebihan kepada negara haram itu. Sesiapa yang lemah simpatinya, maka akan menempah kekalahan.
Malangnya, simpati ini termasuk daripada kalangan negara umat Islam yang dikatakan telah merdeka, tetapi cenderung kepada pengaruh bekas penjajah masing-masing mengikut pembahagian Perjanjian Sykes–Picot 1916, Perisytiharan Balfour 1917, dan lain-lain.
Penerimaan terhadap agenda normalisasi menjadi kenyataan terbuka betapa kuat pengaruh Zionis ini. Lebih parah lagi apabila melibatkan aqidah dengan menerima kesesatan agama yang dinamakan Abraham, agama baharu yang menggabungkan Islam bersama Yahudi dan Kristian.
Alasannya, ketiga-tiga orang rasulnya adalah daripada zuriat Nabi Ibrahim AS dan kononnya berkonsepkan beberapa persamaan dalam ajaran masing-masing serta kebebasan beragama dalam Islam yang dibatalkan sempadannya, tanpa mempedulikan nas al-Quran dan Sunnah yang menegaskan prinsip Islam yang teguh. Firman Allah SWT:
﴿مَا كَانَ إِبۡرَٰهِيمُ يَهُودِيّٗا وَلَا نَصۡرَانِيّٗا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفٗا مُّسۡلِمٗا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ٦٧ إِنَّ أَوۡلَى ٱلنَّاسِ بِإِبۡرَٰهِيمَ لَلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُ وَهَٰذَا ٱلنَّبِيُّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْۗ وَٱللَّهُ وَلِيُّ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ٦٨ وَدَّت طَّآئِفَةٞ مِّنۡ أَهۡلِ ٱلۡكِتَٰبِ لَوۡ يُضِلُّونَكُمۡ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمۡ وَمَا يَشۡعُرُونَ٦٩﴾
“Ibrahim bukan seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, tetapi dia ialah seorang yang menganut agama lurus lagi berserah diri kepada Allah (Islam), dan sekali-kali bukanlah dia termasuk golongan orang-orang Musyrik. (67) Sesungguhnya, orang yang paling dekat kepada Ibrahim ialah orang-orang yang mengikutinya dan Nabi ini (Muhammad SAW), berserta orang-orang yang beriman (kepada Muhammad SAW), dan Allah ialah Pelindung semua orang yang beriman. (68) Satu golongan daripada kalangan Ahli Kitab ingin menyesatkan kalian, padahal mereka (sebenarnya) tidak menyesatkan melainkan diri mereka sendiri, dan mereka tidak menyedarinya. (69)” (Surah Ali ‘Imran: 67–69)
Rasulullah SAW pernah mengimamkan solat berjemaah bersama roh para anbiya’ di Bait al-Maqdis ketika menjadi tetamu Allah pada malam Isra’ dan Mi‘raj. Peristiwa tersebut menunjukkan mereka semua menganut Islam. Firman Allah SWT:
﴿وَمَن يَرۡغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبۡرَٰهِۧمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفۡسَهُۥۚ وَلَقَدِ ٱصۡطَفَيۡنَٰهُ فِي ٱلدُّنۡيَاۖ وَإِنَّهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ لَمِنَ ٱلصَّٰلِحِينَ١٣٠ إِذۡ قَالَ لَهُۥ رَبُّهُۥٓ أَسۡلِمۡۖ قَالَ أَسۡلَمۡتُ لِرَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ١٣١ وَوَصَّىٰ بِهَآ إِبۡرَٰهِۧمُ بَنِيهِ وَيَعۡقُوبُ يَٰبَنِيَّ إِنَّ ٱللَّهَ ٱصۡطَفَىٰ لَكُمُ ٱلدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ
١٣٢﴾
“Dan tiada yang benci kepada agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan sungguh, Kami telah memilihnya di dunia, dan sesungguhnya, dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh. (130) Ketika Tuhannya berfirman kepadanya, ‘Tunduk patuhlah (Islamkan dirimu)!’ Ibrahim menjawab, ‘Aku tunduk patuh (menganut Islam) kepada Tuhan semesta alam.’ (131) Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Ya‘qub. (Ibrahim berkata), ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya, Allah telah memilih agama ini bagi kamu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam keadaan memeluk agama Islam.’ (132)” (Surah al-Baqarah: 130–132)
Ayat ini menunjukkan bahawa semua anbiya’, termasuk Nabi Musa AS dan Nabi ‘Isa AS menganut Islam, bukan agama Yahudi mahupun Nasara. Bahkan ditegaskan oleh Rasulullah SAW, sekiranya mereka masih hidup, mereka diwajibkan berpegang kepada al-Quran wahyu terakhir kerana kitab-kitab suci dahulu telah dinasakhkan.
Dinyatakan dengan jelas lagi bersuluh bahawa agenda agama Abraham termasuk dalam konsep globalisasi yang ditaja oleh negara besar yang dipengaruhi Zionis.
Penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948 ialah perancangan negara-negara besar pada hari ini bagi melaksanakan perancangan Zionis. Semua ini demi menjaga kepentingan mereka di Timur Tengah yang menjadi pembekal terpenting sumber tenaga dan wilayah yang paling strategik kepada laluan antarabangsa.
Kewujudan pangkalan-pangkalan tentera Barat juga ialah bertujuan menjaga negara Zionis Israel, bukannya menolong negara Arab. Bahkan bantuan ketenteraan kepada negara-negara Arab tidak boleh mengatasi atau melebihi Israel demi keamanannya. Sebarang usaha menguatkan tentera yang boleh mengatasi negara haram itu dimusnahkan atas nama hak keamanan dan keselamatan negara Zionis, sepertimana tindakan serangan yang pernah dilakukan ke atas Libya dan Iraq, juga terkini dengan mengancam Iran.
Kecaman PBB dan negara Barat yang lebih keras terhadap serangan terkini yang datang dari Gaza dan selatan Lubnan terhadap Israel kerana pencerobohan terhadap Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadan, ternyata lebih lantang daripada memprotes terhadap Israel yang menceroboh dan mengganas ke atas para jemaah yang sedang beribadat, di samping peranan pendatang Yahudi yang dipersenjatai dan dilindungi oleh polis dan tentera rejim Zionis.
Kita menyaksikan betapa semua negara yang bersekongkol itu menggila selepas Revolusi Islam di Iran, berbeza sikap mereka semasa zaman Shah Iran yang paling diktator dan berkuku besi. Isunya bukanlah disebabkan Islam di Iran ialah bermazhab Syiah bukan Sunni, kerana pada zaman Shah juga adalah sama mazhabnya. Akan tetapi, isunya adalah kerana Iran selepas Revolusi Islam dianggap sebagai ancaman terhadap Israel.
Selain itu, antara sebabnya juga ialah pencapaian Republik Islam Iran dalam kemajuan teknologi tinggi yang boleh mencabar kekuatan Israel dan negara besar yang berada di bawah ketiak Israel yang berpangkalan di rantau Asia Barat. Selain itu, bantuan Iran juga boleh memperkasakan pejuang Palestin khususnya kumpulan Islam Hamas dan Tanzim Jihad, di samping kewujudan Hizbullah di Lubnan – perkara yang tidak mampu dilaksanakan oleh negara Arab yang berjiran dan negara Islam yang bersaudara.
Walaupun Iran membuat kenyataan dengan mengeluarkan fatwa ulama’ agar berpegang kepada konsep pengharaman senjata pemusnah mengikut hukum Islam, para saintis dan pakarnya dikutip untuk dibunuh oleh ejen Mossad Israel dengan bantuan negara-negara yang berada di bawah pengaruh Zionis, termasuk negara Arab dan Islam. Demikian juga, sebab yang paling besar ialah Iran tidak mengiktiraf negara haram Israel dan membantu perjuangan menentang Israel.
Kita menyaksikan rampasan kuasa tentera yang gagal di Turkiye bagi menghalang perubahan Turkiye kepada islah dan tajdid, untuk kembali kepada asal Islamnya yang pernah menjadi kuasa besar melindungi dunia Islam beberapa abad yang lalu. Negara yang berada di bawah pengaruh Zionis nyata terlibat dalam mendukung rampasan kuasa itu, mengulangi keterlibatannya bagi menjatuhkan Khilafah ‘Uthmaniyyah pada abad yang lalu kerana ketegasan Almarhum Sultan Abdul Hamid mempertahankan Palestin dengan menolak rasuah yang ditawarkan kepada baginda oleh Zionis.
Berita mutakhir oleh media The Guardian di United Kingdom mendedahkan peranan Zionis Israel terhadap pilihan raya umum (PRU) di beberapa buah negara, sejak dari awal perjalanan sehinggalah pembentukan kerajaan selepasnya oleh kumpulan yang berjenama Aims (Advanced Impact Media Solutions) yang ditadbir oleh Mossad.
Dapat kita saksikan khususnya PRU di negara Islam yang demokratik, mereka berusaha menghalang penguasaan kumpulan Islam sebenar yang ingin menegakkan Islam kerana dianggap musuh ketat Zionis. Perkara ini membuktikan kebenaran firman Allah SWT:
﴿لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ … ٨٢﴾
“Sesungguhnya, kamu dapati orang-orang yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi…” (Surah al-Ma’idah: 82)
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang ditubuhkan bagi menyatukan negara-negara Islam melalui kerjasama politik, ekonomi, pertahanan, media, dan lain-lain digagalkan. Sehinggakan, OIC tidak bermaya dan tidak mampu melebihi PBB, IMF, Bank Dunia, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), dan agensi media antarabangsa yang dibayangi oleh Zionis.
Situasi ini berlaku dalam keadaan umat Islam yang masih berpecah belah dan lemah aqidahnya kerana masih dibayangi serangan pemikiran yang meletakkan berbagai-bagai ideologi asing memerintah negara Islam, walaupun dikatakan sudah merdeka dan penjajah asing sudah pulang ke negara asal masing-masing.
Negara-negara Islam yang dikurniai oleh Allah kepakaran yang ramai, tenaga manusia yang berlebihan, hasil bumi yang melimpah-ruah dan pelbagai lagi, berada dalam kedudukan penting di peta muka bumi, tetapi berada dalam keadaan yang berpecah dan berselerak. Sehingga kini, negara-negara Islam masih menjadi buah catur permainan negara besar yang berada di bawah pengaruh Zionis, hasilnya ada yang diperhambakan laksana lembu susu yang diperah oleh gembalanya.
Namun begitu, mereka gagal menghapuskan ilmu Islam yang terpelihara dalam al-Quran dan Sunnah. Walaupun rancangan mereka itu diusahakan dengan segala cara sejak beberapa abad yang lalu. Firman Allah SWT:
﴿إِنَّا نَحۡنُ نَزَّلۡنَا ٱلذِّكۡرَ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَٰفِظُونَ٩﴾
“Sesungguhnya, Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya, Kami benar-benar memeliharanya.” (Surah al-Hijr: 9)
Firman Allah SWT:
﴿يُرِيدُونَ لِيُطۡفُِٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ٨ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُۥ عَلَى ٱلدِّينِ كُلِّهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ٩﴾
“Mereka ingin memadamkan cahaya Allah dengan mulut (tipu daya) mereka, tetapi Allah (justeru) menyempurnakan cahaya-Nya, walau orang-orang kafir membencinya. (Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar agar Dia memenangkannya atas segala agama meskipun orang Musyrik membenci. (9)” (Surah al-Saff: 8–9)
Umat Islam mesti menghayati amaran Allah SWT yang berfirman:
﴿… وَلَا يَزَالُونَ يُقَٰتِلُونَكُمۡ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمۡ عَن دِينِكُمۡ إِنِ ٱسۡتَطَٰعُواْۚ وَمَن يَرۡتَدِدۡ مِنكُمۡ عَن دِينِهِۦ فَيَمُتۡ وَهُوَ كَافِرٞ فَأُوْلَٰٓئِكَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۖ وَأُوْلَٰٓئِكَ أَصۡحَٰبُ ٱلنَّارِۖ هُمۡ فِيهَا خَٰلِدُونَ٢١٧ إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَٱلَّذِينَ هَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أُوْلَٰٓئِكَ يَرۡجُونَ رَحۡمَتَ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٢١٨﴾
“…Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) memurtadkan kamu daripada agama kamu (kepada kekafiran), seandainya mereka mampu. Sesiapa yang murtad antara kamu daripada agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalan mereka di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya. (217) Sesungguhnya, orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah, dan orang-orang yang berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (218)” (Surah al-Baqarah: 217–218)
Kita yakin dan percaya bahawa semua helah dan perancangan Zionis pasti gagal pada kemuncaknya, kerana firman Allah SWT:
﴿وَقَدۡ مَكَرُواْ مَكۡرَهُمۡ وَعِندَ ٱللَّهِ مَكۡرُهُمۡ وَإِن كَانَ مَكۡرُهُمۡ لِتَزُولَ مِنۡهُ ٱلۡجِبَالُ٤٦ فَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱللَّهَ مُخۡلِفَ وَعۡدِهِۦ رُسُلَهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٞ ذُو ٱنتِقَامٖ٤٧﴾
“Dan sesungguhnya, mereka telah membuat makar (perancangan dan helah) yang besar, padahal di sisi Allahlah (balasan) makar mereka itu. Dan sesungguhnya, makar mereka itu (amat besar) sehingga gunung-ganang dapat lenyap kerananya. (46) Oleh kerana itu, janganlah sekali-kali kamu mengira Allah akan menyalahi janji-Nya kepada rasul-rasul-Nya; sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi mempunyai pembalasan. (47)” (Surah Ibrahim: 46–47)
Percayalah bahawa bala tentera Ahzab pada masa kini bakal dimusnahkan juga sepertimana musnahnya bala tentera Ahzab pada zaman Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:
﴿وَلَمَّا رَءَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡأَحۡزَابَ قَالُواْ هَٰذَا مَا وَعَدَنَا ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَصَدَقَ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥۚ وَمَا زَادَهُمۡ إِلَّآ إِيمَٰنٗا وَتَسۡلِيمٗا٢٢ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ رِجَالٞ صَدَقُواْ مَا عَٰهَدُواْ ٱللَّهَ عَلَيۡهِۖ فَمِنۡهُم مَّن قَضَىٰ نَحۡبَهُۥ وَمِنۡهُم مَّن يَنتَظِرُۖ وَمَا بَدَّلُواْ تَبۡدِيلٗا٢٣﴾
“Dan tatkala orang-orang Mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata, ‘Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.’ Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan. (22) Antara orang-orang Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka antara mereka ada yang gugur. Dan antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merobah (janji mereka). (23)” (Surah al-Ahzab: 22–23)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Ramadan 1444 / 10 April 2023