Home Kenyataan Media Dewan Ulamak PAS Pusat

Bantu Institusi Tahfiz, Jangan “Double Standard”

106 views
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

13 Rabiul Awwal 1441  l  10 November 2019

BANTU INSTITUSI TAHFIZ, JANGAN “DOUBLE STANDARD”

Bismillahirrahmanirrahim

1. Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa pihak kerajaan terutama YB Menteri Agama untuk mencari jalan yang lebih efektif dan efisien dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang melibatkan institusi tahfiz dari terus menerus mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang hanya bersifat menghukum dan “double standard”.

2. Pembukaan institusi tahfiz di negara ini bagai “cendawan tumbuh selepas hujan” menjadi bukti sambutan meluas kalangan para ibu bapa yang cenderung memilih sistem pendidikan yang berasaskan hafazan al-Quran.

Situasi ini perlu dimanfaatkan dengan baik dan pihak kerajaan perlu mengambil langkah yang lebih besar bagi memastikan imej institusi tahfiz dipertingkatkan dari masa ke semasa.

3. Penghantaran anak-anak ke institusi tahfiz harus dipuji kerana ia merupakan salah satu usaha mulia dengan kehendak dan kemahuan mahu memiliki dalam sebuah keluarga paling minima seorang al-Hafiz iaitu mampu menghafaz keseluruhan 30 juzuk al-Quran.

4. Institusi tahfiz merupakan salah satu medium penting di zaman mencabar ini untuk memastikan pembentukan keperibadian mulia di kalangan anak-anak dengan cara mendampingi serta menghafaz kalam suci al-Quran dan pembelajarannya di samping usaha yang seiringan dengan kecemerlangan akademik.

5. Jika kerajaan hanya “menyerang” institusi tahfiz dengan fokus beberapa kes terpencil yang berlaku serta isu pendaftaran maka bagaimana pula dengan sekolah biasa yang juga tidak terlepas dari kes-kes yang sama serta apa pula reaksi terhadap pembinaan rumah ibadah penganut bukan Islam yang dibina secara “haram”?

6. Sehubungan itu, pihak kerajaan khususnya YB Menteri Agama digesa untuk menggerakkan secara serius agenda yang boleh membantu institusi tahfiz dari sudut peruntukan dana yang lebih besar, penyediaan fasiliti pembelajaran serta SOP penguatkuasaan pendaftaran yang lebih mudah kepada pengusaha-pengusaha tahfiz swasta.

Sekian.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan
Dewan Ulamak PAS Pusat