Home Berita PAS Kedah

Banjir kilat, empat daerah di Kedah terjejas

143
SHARE

ALOR SETAR, 29 Sept – Hujan lebat berterusan lebih dua jam bermula petang Selasa semalam menyebabkan empat daerah di negeri ini mula dinaiki air.

Daerah Baling mencatatkan rekod mangsa paling ramai dipindahkan iaitu seramai 183 mangsa dan diikuti Sik (61 mangsa). Manakala Kuala Muda dan Kubang Pasu yang turut terjejas akibat dilanda banjir kilat tidak membabitkan pembukaan pusat penempatan sementara (PPS).

“Banjir ini memang kita tak tau, bila dia (banjir) nak mai, saya harap kita semua bersabar atas ujian Allah ini dan saya minta kita pakat patuh arahan yang diberikan oleh Jawatankuasa Pusat Pemindahan Sementara ini,” ujar Menteri Besar Kedah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, YAB Haji Muhammad Sanusi Md Nor yang hadir menziarahi mangsa banjir dan menyampaikan sumbangan di daerah Sik.

 

Seramai 61 mangsa yang terdiri daripada 15 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Galau, Sik, selepas banjir kilat melanda tiga kampung di daerah itu.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, PPS SK Gulau menempatkan kesemua mangsa dari tiga kampung iaitu Kampung Landai, Kampung Pinang dan Kampung Melaka.

“Dua keluarga di Kampung Landai dipercayai terperangkap selepas rumah mereka yang ditenggelami air dalam banjir kilat sejak 8 malam.

“Kejadian turut menyebabkan dinding rumah mangsa runtuh, mangsa yang terperangkap berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba dan dibantu penduduk,”

Tambah beliau, terdapat pertambahan mangsa banjir di daerah Baling berdasarkan data yang dikemaskini jam 4 petang Rabu.