Home Berita PAS Johor

Banjir Johor : Lebih 5,000 mangsa dipindahkan

446
SHARE
Gambar Ihsan NSTP

Oleh : ABU HADIF

JOHOR BAHRU, 3 Jan : Mangsa banjir di negeri ini melibatkan enam daerah terus melonjak kepada 5,029 orang membabitkan 1,316 keluarga telah dipindahkan di 66 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam lapan pagi hari ini.

Data berkenaan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NADMA) menunjukkan peningkatan mendadak berbanding hanya 2,553 mangsa daripada 653 keluarga yang ditempatkan di 45 PPS, setakat jam empat pagi tadi.

Terbaru seramai 366 orang mangsa banjir ditempatkan enam PPS di daerah Mersing, selain itu Segamat antara daerah yang paling teruk, diikuti Tangkak, Kluang, Kota Tinggi dan Johor Bahru, masing-masing menunjukkan peningkatan terus bilangan mangsa di PPS.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, Segamat menjadi daerah paling terjejas banjir di negeri ini dengan mangsa melonjak kepada 2,508 daripada 665 keluarga yang ditempatkan di 39 PPS.

Ia berbanding hanya 1,615 daripada 418 keluarga yang ditempatkan di 27 PPS, setakat jam 8 pagi semalam.

Vidyananthan berkata, Tangkak yang menjadi daerah kedua terjejas banjir di Johor turut naik dengan 40 mangsa daripada 10 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Agama Bandar Tangkak berbanding hanya 31 mangsa daripada tujuh keluarga jam 8 pagi semalam.

“Sebanyak 30 PPS dibuka di Segamat berikutan trend air banjir yang mula menaik dan cuaca dijangka hujan berterusan.

“Antara kawasan yang terjejas banjir di Segamat ialah Kampung Sermin, Kampung Lembah Bakti, Pekan Air Panas, Paya Lenga, Paya Lebar, Gelang Chinchin, Tenang dan Sedeng.

“Turut terjejas banjir adalah kawasan Paya Lang, Kampung Baru Gemas Bahru, Taman Gembira, Taman Wira serta Taman Bintang selain Kampung Awat.

“Kawasan Kampung Jabi, Kampung Tengah,Tungku Tiga, Sekijang, Seberang Batu Badak, Kampung Jawa/Logah dan Kampung Sri Makmir turut terjejas banjir di Segamat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Vidyananthan berkata, hampir semua daerah di Johor diramalkan hujan hari ini dan penduduk di kawasan rendah dan berisiko banjir dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka terhadap perubahan cuaca di kawasan masing-masing.

“Bermula hari ini hingga Rabu depan fenomena air pasang besar juga berlaku dan penduduk di kawasan berhampiran laut dan pesisiran pantai di negeri ini perlu lebih berhati-hati terhadap sebarang kemungkinan,” katanya.