Home Berita PAS Kedah

Banjir Baling: Semua penduduk di kawasan tanah rizab Sungai Kupang dipindahkan – MB

145
SHARE

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah mengenal pasti 30 keluarga yang layak menerima rumah ganti di tapak baharu selepas mendapati tapak asal rumah mereka sudah tidak selamat akibat kejadian kepala air yang berlaku 4 Julai lepas.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri akan membina semula rumah ganti di atas tanah Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Kampung Sadek, Kupang dengan kos sekitar RM58,000 hingga RM60,000 sebuah.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan menanggung bayaran sewa rumah selama 6 bulan dengan kadar sewa 400 sebulan dan 100 sebulan untuk utiliti kepada penduduk yang rumah mereka musnah sepenuhnya dan rosak teruk.

“Kerja membaik pulih kediaman yang rosak juga diruskan oleh kerajaan negeri dengan melantik anak syarikat berkaitan untuk melakukan kerja membaik pulih,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut membantu sekolah dan institusi awam yang terbabit seperti sekolah, surau dan dewan serta membaiki infrastruktur air masyarakat yang terjejas.

“Bancian sedang dilakukan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Baling bagi mengenal pasti kesan banjir yang berlaku kepada kediaman penduduk yang terlibat.

“Kesan-kesan sampingan bencana itu juga sedang dinilai oleh agensi dan jabatan berkaitan yang seterusnya akan dilaporkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan segera,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata pihaknya juga masih menunggu laporan siasatan jabatan teknikal yang terlibat dalam mengenal pasti punca kejadian itu termasuk yang berhubungan dengan projek pembangunan ladang hutan di Gunung Inas yang dikaitkan dengan bencana itu.