Home Berita PAS Kedah

Ban pecah jejas bekalan air 80,000 penduduk : MADA ambil tindakan segera

70
SHARE

Oleh TASNIM

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah merangka satu tindakan segera sebagai langkah sementera berikutan insiden ban pecah milik MADA yang menjejaskan lebih 80,000 akaun di empat daerah membabitkan Daerah Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Yan semalam.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman dalam satu kenyataan memaklumkan insiden runtuhan ban kanan Terusan Tengah berlaku di struktur Alor Limpah, Sifon Lengkuas Mada pada 12.15 tengah hari semalam.


Beliau berkata, hujan lebat luar biasa di kawasan tadahan dan di dataran menyebabkan aliran Sungai Padang Terap tidak terkawal sehingga berlaku peningkatan paras air.

“Hujan lebat menyebabkan kenaikan paras air hulu dan hilir di Struktur Alor Pelubang melebihi paras limpah iaitu pada paras 8.01m hingga menyebabkan kegagalan struktur alur limpah di Sifon Lengkuas.

“Kejadian ini dijangka akan memberi kesan kepada penggunaan bekalan air terawat penduduk sekitar,” katanya.

Mengulas tindakan segera pihak MADA dan SADA, Tarmizi berkata kerja-kerja pembinaan sekatan sementara di dalam Sungai Bukit Pinang bagi mengawal paras air di dalam Terusan Tengah supaya operasi loji rawatan air SADA tidak terjejas sedang dijalankan.

Katanya, kerja-kerja pembaikan ban sementara telah dijalankan pada malam tadi oleh kontraktor yang dilantik pihak MADA dalam tempoh segera.