Home Berita PAS Terengganu

Bajet Terengganu 2024 ’Komprehensif’

134
SHARE

KUALA TERENGGANU – Bajet Tahun 2024 bagi Negeri Terengganu, yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam disifatkan sebagai komprehensif.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia merangkumi setiap aspek yang diperlukan oleh rakyat negeri itu.

“Pada pengamatan saya, bajet yang dibentangkan adalah satu bajet merangkumi sudut pembinaan insan, dari sudut pembangunan infra dan juga dari sudut kebajikan kepada rakyat.” ujarnya dalam satu sidang video semalam.

ADUN Batu Buruk itu yakin, belanjawan tersebut mampu melonjakkan keupayaan Negeri Terengganu untuk melangkah gagah ke hadapan.

“Insya-Allah akan terus memacukan negeri Terengganu khususnya dalam mendepani cabaran-cabaran yang sangat hebat pada hari ini sama ada dari dalaman mahupun luar negara.” tegas beliau.

Justeru, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menyeru seluruh rakyat berdoa untuk kesejahteraan Darul Iman

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu supaya kita sama-sama mendoakan agar kesejahteraan dan keberkatan dicurahkan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada Negeri Terengganu Darul Iman yang kita cintai.” tambah beliau.

Sebelum itu, Kerajaan negeri menggariskan 10 sasaran dan strategi utama untuk diusahakan dan dicapai menerusi peruntukan belanjawan 2024.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam situasi pertumbuhan global dan nasional diunjur menyederhana pada tahun 2023 dan 2024, KDNK Terengganu harus kekal mengembang antara 3.5 hingga 4.1 peratus.

“Subsektor perdagangan borong dan runcit mesti diperkukuh dengan pelbagai inisiatif pengupayaan perniagaan dan pembangunan usahawan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 sempena Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut mensasarkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan baharu yang berjaya.

“Sekurang-kurangnya 80 orang menerusi pemerkasaan program pembangunan usahawan dengan hasil jualan berjumlah sehingga RM4.2 juta sekali gus menyediakan lebih 200 peluang pekerjaan.

” Selain peluang dan penempatan pekerjaan perlu diselia dengan lebih bersepadu supaya kadar penganguran di negeri ini berada di paras sekitar 3.3 peratus hingga 3.6 peratus sahaja,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, industri pelancongan juga perlu diperkasa dengan kepelbagaian produk, ketersediaan kemudahan dan pemuliharaan bermacam-macam sumber untuk menarik 13.2 juta pelawat domestik termasuk 4.5 juta pelancong, iaitu 20 hingga 30 peratus lebih ramai berbanding tahun lalu.

Katanya, rancangan dan usaha bagi menambah baik infrastruktur dan logistik di kesemua 28 kawasan perindustrian serta meneroka dan mengeksploitasi kelebihan di kawasan sempadan negeri dan stesen-stesen ECRL mesti dipergiatkan bagi merancakkan industri berorientasikan eksport dan domestik.

“Hal ini penting supaya jumlah dan imbangan dagangan dapat ditingkatkan antara lima hingga tujuh peratus berbanding pada tahun 2022 untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan ekosistem pelaburan yang lebih kompetitif,” jelasnya.

Mengulas lanjut katanya, projek-projek kecil DUN perlu dilaksanakan mengikut senarai dan keutamaannya, spesifikasi dan jadual yang telah ditetapkan bagi memenuhi keperluan penduduk, menangani impak bencana dan memangkin pertumbuhan sosioekonomi setempat.


“Peruntukan yang disediakan mesti dioptimumkan sepenuhnya. Kemajuan projek- projek perumahan mampu milik juga mesti dipantau dan dikawal dengan lebih tegas supaya dapat disiapkan dan diagihkan pada waktu yang sepatutnya,” ujarnya.

Sementara itu katanya, institusi keluarga mesti terus diperkukuh kerana ia adalah nadi kesejahteraan masyarakat.

“Usaha untuk meredakan kadar perceraian di bawah paras 1.5 bagi setiap 1,000 penduduk perlu lebih aktif, terutamanya melibatkan pasangan berumur antara 32 hingga 40 tahun.

“Selari dengan itu, ikhtiar untuk mengurangkan bilangan penyalahguna dan penagih dadah, bilangan kes jenayah indeks dan jenayah syariah juga mesti dipergiatkan menerusi program kesedaran, aktiviti penguatkuasaan dan tindakan undang-undang,” jelasnya lagi.

Tambah beliau, menjelang Ogos tahun hadapan, atlet-atlet Terengganu mesti dipersiapkan fizikal, mental dan moral mereka ke tahap yang terbaik supaya dapat kembali merampas gelaran juara keseluruhan pada temasya SUKMA 2024 nanti.

Disamping itu, jelas beliau, rencana untuk menambah hasil cukai dan hasil bukan cukai sebanyak 10 peratus setahun mesti dilaksanakan dengan lebih strategik, agresif dan bersepadu.

Manakala katanya, semua jabatan dan agensi, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan perlu mencapai tahap kepuasan pelanggan melebihi 90 peratus dan 90 peratus aduan yang dikemukakan juga mesti diselesaikan dalam tempoh 15 hari bekerja.

Katanya, semua sasaran dan strategi yang digariskan itu tidak terhad hanya untuk portfolio atau jabatan dan agensi tertentu sahaja.

“Sebaliknya, pelbagai pihak mesti saling bekerjasama untuk menjayakannya termasuklah menggerakkan sepenuhnya potensi empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis menerusi gugusan SG4,” ujarnya.