Home Berita PAS Kelantan

Bajet 2020: Ubat Penenang Yang Bersulam Racun Berbisa

909
SHARE

Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan kelmarin menjelaskan kepada kita bahawa Wawasan 2020 yang pernah diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Ke-4 tidak berjaya sebagaimana yang diimpikan oleh beliau dan seluruh rakyat Malaysia.

Ternyata Malaysia terkial-kial dalam menjadi sebuah negara maju pada tahun hadapan.

Subsidi minyak bersasar yang akan diperkenalkan akan memberi impak kewangan yang cukup besar kepada golongan B40 sehingga M40. Ini adalah racun yang sangat berbisa yang akan mula dirasakan seawal 2020 nanti.

Selain itu, beberapa cukai baharu juga bakal diperkenalkan. Semua ini tentunya bakal menjerut rakyat.

Perbandingan kadar inflasi yang tidak tepat. Benar, penghapusan GST mengurangkan tekanan harga namun data kadar inflasi selepas SST tidak ditunjukkan.

Golongan penoreh getah dan pekebun kelapa sawit masih tidak dijanjikan sesuatu yang baik untuk meningkatkan pendapatan mereka. Hanya terselit sedikit penerusan Bantuan Musim Tengkujuh yang kelihatan. Ternyata tiada usaha yang dikhususkan untuk menstabilkan harga komoditi getah dan sawit. Mimpi buruk terus memayungi golongan tersebut.

Kali ini juga, kerajaan tanpa segan silu mengaku bahawa hutang negara meningkat dengan begitu mendadak walhal pada masa yang sama ekonomi tidak meningkat. Lebih diburukkan lagi, laporan tentang penjualan aset-aset negara dijual dengan begitu rakus tidak disangkal oleh kerajaan.

Kelantan masih kekal sebagai anak tiri yang dilupakan walaupun hasil petroleumnya dijarah dengan penuh lunak. Lebih memedihkan, hasil royalti Kelantan yang masih tidak dibayar walau satu sen sehingga hari ini. Janji kekal dikhianati.

Tampaknya beberapa durian runtuh jatuh kepada negeri lain terutamanya negeri-negeri yang sedia maju. Kelantan kekal tandus.

Dalam masa yang sama, pengumuman cuti bersalin dari 60 hari kepada 90 hari diumumkan. Kerajaan Islam Kelantan telah hampir sepuluh tahun melaksanakannya. Ternyata ia diceduk bulat-bulat daripada Kelantan.

Inilah sebahagian dapatan awal yang sempat saya kutip pada Pembentangan Bajet 2020. In Sya Allah, saya perincikan dalam ucapan perbahasan bajet minggu hadapan.

Jumpa nanti.

Abdul Latiff Abdul Rahman
Ahli Parlimen Kuala Krai,
13 Safar 1441 | 12 Oktober 2019.

Sumber: https://www.facebook.com/UstazLatiff4KualaKrai/posts/2712083462168430