KUALA TERENGGANU – Jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Azizulhasni Awang akan dilantik sebagai ikon pelancongan negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, mengumumkan bahawa kerajaan negeri akan berbincang dengan Azizulhasni sebaik sahaja beliau pulang dari menyertai Sukan Olimpik Paris 2024.
Menurutnya, pelantikan Azizulhasni dijangka akan menyokong usaha kerajaan negeri untuk mencapai sasaran kedatangan pelancong yang kini melebihi 5.2 juta, melebihi sasaran awal iaitu 4.5 juta pelancong.
“Azizulhasni, yang terkenal dengan gelaran ‘The Pocket Rocketman’, adalah langkah strategik untuk menarik kedatangan pelancong dari luar negara, khususnya dalam bidang pelancongan sukan.
“Kita sedang menunggu kepulangan Azizulhasni, yang juga anak kelahiran Dungun, untuk berbincang mengenai tawaran sebagai ikon pelancongan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Razali berkata, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, pada dasarnya telah bersetuju dengan cadangan pelantikan Azizulhasni sebagai ikon pelancongan.
“Kita sedang menunggu masa yang sesuai untuk berbincang dengan Azizulhasni dan berharap dia bersetuju dengan pelantikan itu.
“Pelantikan Azizulhasni sebagai ikon pelancongan dijangka akan memberi impak positif kepada industri pelancongan negeri Terengganu, dengan menonjolkan keunikan dan kehebatan atlet berbasikal negara sebagai daya tarikan tambahan,” ujarnya.