Home Berita PAS Johor

ASNAF DIRAI DALAM KULIAH DHUHA

597
SHARE

ASNAF DIRAI DALAM KULIAH DHUHA

Oleh: Tinta Tebrau

Tebrau, 4 Ogos 2019: PAS Cawangan Kg. Kangkar Tebrau dengan kerjasama Kumpulan Marhaban Siti Aisyah telah menganjurkan Kuliah Dhuha Perdana di Pasti Al-Irfan 9, Taman Bukit Mutiara baru-baru ini. Seramai 75 keluarga asnaf diraikan bersama yang terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal, OKU dan warga emas.

Kuliah tersebut disampaikan oleh Ketua Urusan Ulama’ PAS Kawasan Tebrau, Ustaz Muhammad Faiz bin Khalid. Antara intipati pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Faiz berkisar tentang ajaran Islam yang menekankan amar ma’ruf nahi mungkar dalam urusan harian dan peranan serta keprihatinan ibubapa menjaga anak-anak.

Terdahulu, majlis dimulakan dengan alunan marhaban dan nasyid daripada kumpulan marhaban Siti Aisyah. Majlis kemudian diteruskan dengan penyerahan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian kepada wakil-wakil keluarga asnaf yang disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Tebrau, Azman Atmin. Tetamu yang hadir turut dirai dengan hidangan jamuan di akhir program.

Sebagai maklum balas program sebegini, rata-rata asnaf mengucapkan terima kasih dan penghargaan mereka terhadap usaha berterusan daripada PAS Kawasan Tebrau meringankan bebanan hidup masyarakat yang kurang berkemampuan selain mendekatkan masyarakat dengan jemaah PAS. PAS juga dilihat sentiasa menjaga kebajikan rakyat dan prihatin terhadap masalah-masalah setempat. Hadirin yang belum menjadi ahli PAS turut memberi maklum balas positif dengan program-program kebajikan sebegini yang turut dimeriahkan dengan pengisian ilmu agama.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Tebrau, Ustazah Rohaiza Md Razali serta beberapa ahli jawatankuasanya.