Home Berita PAS Sabah

Mangsa kebakaran Penangah terima sumbangan PAS Kinabatangan.

705
SHARE

Oleh : Basith Samad

5 Ogos 2019

KINABATANGAN : Nasib 170 orang mangsa kebakaran di Kampung Stesen, Penangah mendapat perhatian PAS Kawasan Kinabatangan apabila pihak mereka hadir semalam ke Pusat Penempatan Sementara di kampung tersebut.

PAS Kinabatangan yang menerima kerjasama daripada Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah dan PASTI Telupid telah menyerahkan sumbangan keperluan harian seperti beras, minyak, alatan mandian, peralatan sekolah, kelengkapan bayi dan lain-lain.

Menurut Yang Dipertua PAS Kinabatangan, Innah Tuton, kehadiran mereka ke lokasi kebakaran yang berlaku pada 30 Julai itu sebagai tanda simpati PAS terhadap kesedihan yang dirasai oleh mangsa-mangsa tersebut.

“Kita ini bersatu dengan sungai yang sama iaitu Sungai Kinabatangan, jadi sewajarnya kesedihan ini kita rasai bersama dan kami hadir menghulurkan bantuan,” jelas Innah.

“Biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberi semangat baharu dan meringankan beban mangsa,” tambahnya.

“Sumbangan ini adalah atas rasa tanggungjawab dan keperihatinan PAS kepada mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Hadir sama dalam misi ini ialah Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Sabah, Masru Mustaqeem, Timbalan Yang Dipertua PAS Sandakan, Ramlan Rahimen dan Pengerusi PASTI Telupid, Faizul Zakaria serta beberapa orang AJK PAS Kinabatangan.