Home Berita PAS Sarawak

Arifiriazul calon tunggal PAS PRN Sarawak di DUN Beting Maro

1502
SHARE

Oleh AIN SAKINAH MUHAMMAD

BETING MARO, 4 Dis: Setiausaha PAS Negeri Sarawak, Mohammad Arifiriazul Paijo diumumkan sebagai calon tunggal parti ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 12 negeri ini.

Mohammad Arifiriazul, 37, yang merupakan usahawan dan pernah bertanding di DUN Lambir pada PRN ke 11 akan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri.(DUN) Beting Maro.

Perkara ini diumumkan oleh Timbalan Presidennya, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Watikah Calon PAS PRN12 Sarawak, di Kuching, hari ini.

“Keputusan meletakkan hanya seorang calon pada PRN ke 12 dibuat berdasarkan beberapa faktor termasuk situasi Covid-19 yang masih belum berakhir.

“PAS juga mahu memelihara hubungan di peringkat Pusat dengan kerajaan pelbagai parti termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya pada sidang media itu.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Khairil Nizam Khirudin dan Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee.

Dalam PRN Sarawak ke 11 pada tahun 2016, calon PAS bagi DUN Beting Maro, Hamidah Mokhtar mendapat 3051 undi, tewas kepada calon BN, Razaili Gapor yang mendapat 4758 undi sementara calon PH daripada PAN, Andri Zulkarnaen Hamden hanya memperolehi 103 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PAS dalam pilihan raya itu bertanding di 11 kerusi iaitu di N04 Pantai Damai, N07 Samariang, N16 Muara Tuang, N24 Sadong Jaya, N27 Sebuyau, N29 Beting Maro, N60 Kakus, N67 Jepak, N70 Samalaju, N72 Lambir dan N74 Pujut.