Home Berita PAS Selangor

Apa Yang Tersirat Sebalik Tindakan TUN Mahathir

5919
SHARE

Oleh: ROSLAN SMS

Konflik Tun Dr Mahathir Mohamed dengan Istana Selangor tidak berkesudahan tambah apabila Tun dan isterinya bertindak memulangkan semua darjah kebesaran negeri yang dianugerahkan oleh Tuanku Sultan kepada mereka.

Kononnya dengan cara itu barangkali boleh selesailah segala kekusutan pada fikiran Tun.

Dalam hal ini saya sangat bersetuju dengan pandangan Dr Kamarul Zaman Yusoff UUM bahawa tindakan yang sewajarnya diambil Tun adalah memohon maaf pada istana dan bukannya memulangkan anugerah sebagaimana dilakukannya.

Nampak seiring sungguh garis pemikiran Tun dan Zaid Ibrahim DAP, kedua-duanya enggan memohon maaf setelah menyinggung pihak istana Selangor.

Budaya dan adat Melayu yang kaya dan bertamaddun diterajang ke tepi kerana melayan nafsu keras kepala masing-masing. Mungkin mereka merasakan tindakan itu bakal dijulang dan disokong rakyat.

Ingat ingat mencari kerang
Mencari kerang ada tempatnya

Ingat-ingat di negeri orang
Negeri orang ada adatnya

Tidak pernah berlaku darjah kebesaran dipulangkan tanpa perintah berbuat demikian. Maaf tapi ia biadap.

Apa muslihat Tun?

Bagi saya ia menandakan dalam konflik ini Tun masih bertegas dengan pendiriannya dan enggan memohon maaf.

Ambillah segara anugerah yang dikurnia namun mahu memohon maaf tidak sekali. Malah dalam kenyataannya diperli pula titah Tuanku tentang sikap pemarahnya itu.

Tun berkata:

“Ya saya seorang lelaki yang sangat marah, kamu lihat betapa marahnya saya. Saya akan bakar kamu saya selalu membakar benda.”

Ternyata Tun bukan mahu menjernih sebaliknya memang mahu bertegang menegakkan benang basah dengan Istana Selangor.

Hari panas jangan ke laut
Kalau ke laut kapal tergalang
Hati panas jangan diturut
Kalau diturut akal pun hilang

Mungkin ada yang memuji dan menganggap hebat aksi Tun ini. Tetapi saya yakin dan percaya rakyat Malaysia khasnya umat Melayu tambah-tambah anak Selangor tidak selesa sama-sekali dengan tindak-tanduk Tun itu.

Apa mesej yang mahu disampaikan?

Tun yang kita kenal memang seorang yang tidak mengambil-berat sangat tentang budaya dan adat. Almarhum Tunku Abd Rahman dari golongan bangsawan dulu pun memang tidak beliau senangi malah perangi. Tun dan istana memang punya sejarah yang panjang.

Hari ini disenja usianya beliau menyeret rakyat untuk mempertikai pihak istana pula (lagi).

Anak teruna tiba di darat
Dari Makasar langsung ke Deli
Hidup di dunia biar beradat
Bahasa tidak dijual beli

Moga rakyat Malaysia khasnya umat Melayu sedar dan awasi agenda tersirat Tun itu.

Pohonlah maaf apa perlu memanjang-manjangkan isu ini dah ternyata perahu yang terlajak adalah bikinan lidah sendiri.

Wahai ananda peliharalah mulut
Hati berdendam jangan diturut
Memberi maaf jangan menuntut
Meminta maaf janganlah takut

Apa pun, janganlah serah masa depan kita pada tokoh seumpama ini.

Penulis adalah Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Selangor.