Home Minda Presiden

Apa Erti Bendera

1298
SHARE

Minda Presiden PAS

APA ERTI BENDERA


Apabila Rasulullah S.A.W. menghantar sahabatnya Al-Harith bin ‘Umair Al-Azdi membawa surat perutusan kepada Syurahbil bin ‘Amar (pemerintah Ghassan) di bawah jajahan takluk Rom Timur, tiba-tiba sahabatnya dibunuh, tindakan zalim itu melanggar adat seluruh dunia yang mengharamkan membunuh utusan, walaupun daripada musuh. Ia merupakan satu peraturan yang diterima oleh Islam dan membunuh utusan dikira satu perisytiharan perang. Maka Rasulullah S.A.W. membentuk bala tentera bertindak balas terhadap kezaliman kepada sahabatnya.

Walaupun jumlah dan kelengkapan tidak seimbang, berlaku pula perkara di luar dugaan dan jangkaan, tetapi kekuatan iman, akhlak dan strategi yang baik adalah penentu kemenangannya, berpandukan firman Allah:

﴿وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا ٱسۡتَطَعۡتُم مِّن قُوَّةٖ …٦٠﴾

“Dan kamu wajib bersedia apa-apa kekuatan mengikut kemampuan yang ada pada kamu…”. (Surah Al-Anfaal: 60)

Jumlah tentera Islam tiga ribu orang sahaja yang dikira sudah besar bagi tindakan tersebut. Ditugaskan ketuanya Zaid bin Harithah R.A. iaitu anak angkat Nabi Muhammad S.A.W. dan berpesan sekiranya Zaid gugur syahid, maka ditugaskan Ja’far bin Abi Talib R.A. (sepupu Baginda S.A.W.) dan seterusnya Abdullah bin Rawahah R.A. (sahabat daripada kalangan Ansar).

Rasulullah S.A.W. menyerahkan bendera warna putih kepada Zaid bin Harithah dan berpesan supaya didahulukan mengajak perdamaian dan dakwah. Kalau terpaksa berperang, Baginda S.A.W. bersabda:

اغزوا بسم الله في سبيل الله من كفر بالله، لا تغدروا، ولا تغيروا، ولا تقتلوا وليدا ولا امرأة، ولا كبيرا فانيا، ولا منعزلا بصومعة، ولا تقطعوا نخلا ولا شجرة، ولا تهدموا بناء.

“Berperanglah dengan nama Allah! Kerana agama Allah! Terhadap sesiapa yang menderhakai Allah, jangan khianat, jangan mengubah perjanjian, jangan membunuh kanak-kanak, jangan membunuh kaum wanita, orang tua, para paderi yang berada di gereja, jangan musnahkan tanaman dan jangan robohkan rumah kediaman”. (Riwayat Al-Bukhari)

Apabila tiba di sana, mereka dimaklumkan bahawa Rom Timur telah menghantar bala tentera bantuan yang jumlahnya 100 ribu anggota, disertakan kabilah-kabilah di bawah naungannya menjadikan jumlah 200 ribu orang, berlipat kali ganda dibandingkan dengan jumlah tentera Islam.

Para pemimpin tentera Islam bermesyuarat membuat keputusan untuk terus menghadapi musuh yang besar jumlahnya tanpa meminta tentera bantuan dan menunggunya.

Zaid bin Harithah R.A. memegang bendera yang dikibar menjadi tanda dan semangat kepada bala tentera Islam dalam pertempuran yang sengit berlaku. Rasulullah S.A.W. mendapat maklumat langsung secara wahyu daripada Allah, melaporkan dengan berlinangan air matanya di hadapan para sahabat R.A. yang berkumpul mendengarnya di Madinah.

Zaid bin Harithah gugur, digantikan dengan Ja’far mengangkat bendera yang dikibarkan, tangan kanannya sudah putus dipancung dan tangan kiri pula memegang bendera. Tangan kirinya pula putus dipancung, dia merangkul bendera dengan lengan yang masih ada, dan sekarang jasadnya pula dipancung gugur syahid.

Selepas itu, tampil Abdullah bin Rawahah. Dia juga gugur syahid. Akhirnya mereka menyerahkan bendera kepada Khalid bin Al-Walid yakni Pedang Allah, salah satu daripada pedang-pegangNya (gelaran yang disebut oleh Rasulullah S.A.W.).

Panglima Khalid bin Al-Walid R.A. yang pintar mengatur strategi, mengubah penyusunan bala tentera Islam kepada pasukan-pasukan yang banyak dan bergilir-gilir menukar kedudukan, sehingga musuh menyangka tibanya bantuan yang bertali arus, menyebabkan tentera musuh berundur untuk menyusun semula, kerana takut terperangkap di tengah padang pasir yang luas dan berbukit-bukau itu dengan sangkaan sudah datang tentera bantuan yang besar dan gagah berani bertempur.

Akhirnya Khalid bin Al-Walid berjaya menyelamatkan bala tentera Islam, sehingga yang gugur hanya dua belas orang para syuhada’ sahaja, dengan kesudahan yang menakjubkan.

Tiga panglima para syuhada’ silih berganti mempertahankan bendera yang diserahkan oleh Rasulullah S.A.W. agar tidak jatuh ke tanah, kerana bendera adalah sebahagian daripada syiar yang membangkitkan semangat kepahlawanan mempertahankan agama.

Sehingga kini bendera menjadi syiar negara dan bangsa di seluruh dunia, setiap warna dan lukisannya menjadi simbol yang sangat bermakna. Maka mempertahankan bendera adalah maruah agama, bangsa dan negara.

Sebarang tindakan mempersendakan bendera negara tidak harus dipandang remeh. Hanya mereka yang buta akal terhadap agama, bangsa dan negara sahaja tidak tersentuh perasaannya terhadap bendera yang dipersendakan.

Bendera Malaysia (tulisan Jawi: بنديرا مليسيا) atau dikenali sebagai Jalur Gemilang, mengandungi 14 jalur merah dan putih (melintang) yang sama lebar bermula dengan jalur merah yang melambangkan keberanian rakyat Malaysia yang tiada bandingnya terhadap negara ini. Di sebelah atas bermula dari jalur putih kedua bersilang sehingga jalur putih yang terakhir melambangkan kesucian negara, tanda keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan satu Wilayah Persekutuan dan ianya menjadi simbol untuk 14 jalur pada Jalur Gemilang.

Bahagian segi empat (atau kanton) yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri menegak dari atas hingga ke bawah jalur merah yang kelima itu melambangkan perpaduan rakyat Malaysia. Kanton tersebut mengandungi anak bulan yang melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan dan negara Malaysia (seperti yang telah tertakluk di bawah Perlembagaan Negara Malaysia).

Bintang pecah 14 itu melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan. Warna kuning pada anak bulan dan bintang melambangkan warna Diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

Empat warna ini yang melambangkan keberanian, kesucian, perpaduan rakyat Malaysia, dan kemuliaan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja sebagai Ketua Agama dan Ketua Negeri bagi seluruh negeri di Malaysia.

Maka tindakan mempermainkan secara khusus terhadap lambang atau simbol agama Islam perlu diberi perhatian terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukannya walaupun bersifat simbolik dan gurauan.

“Islam Memimpin Perpaduan”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 6 Rabi’ul Akhir 1441 / 3 Disember 2019