Home Berita PAS Kedah

Apa berlaku sebenarnya Kedah dan Pulau Pinang?

1383
SHARE

Sidang Dewan Rakyat hari ini (27 Februari 2023) Lim Guan Eng serang MB Kedah yang tidak ada di dalam Dewan. Dia tuduh MB Kedah pertikai Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kedaulatan Negeri Pulau Pinang.

Apabila Ustaz Tarmizi Sik bangun cuba menjelaskan dia tidak beri laluan.

MB Kedah bukan pertikai kedaulatan Pulau Pinang tetapi minta wang pajakan yang dibayar oleh Kerajaan Persekutuan sebagai pajakan Negeri Pulau Pinang daripada Sultan Kedah dinaikkan.

Sejak penyerahan Pulau Pinang oleh Sultan Abdullah untuk dipajak kepada SHTI melalui Francis Light pada 1786, bayaran pajakan dikenakan adalah sebanyak 6, 000 Dollar Sepanyol.

Pajakan itu diperolehi secara tipu helah dan SHTI tidak pernah membayar pajakan secara sempurna.

Ini mendorong Sultan Abdullah cuba melancarkan serangan terhadap Inggeris melalui Perai yang pada masa itu masih di bawah pemerintahan Sultan Kedah.

Angkatan Sultan Abdullah diserang balas oleh SHTI yang akhirnya menyebabkan Kedah turut terlepas Perai.

Penaklukan Perai oleh Inggeris menyebabkan nilai pajakan dinaikkan kepada 10,000 Dollar Sepanyol.

Bagaimanapun bayaran pajakan masih tidak bayar secara sempurna. Inggeris juga memungkiri perjanjian awal yang menjadi syarat persetujuan Sultan Kedah untuk memajak Pulau Pinang iaitu SHTI akan melindungi Kedah daripada serangan Siam.

Apabila perang Kedah Siam tercetus bermula 1831, SHTI sebaliknya memilih untuk berpihak kepada Siam pada 1838.

Setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Kerajaan Persekutuan yang mewarisi pemerintahan Kerajaan Pusat daripada Inggeris, meneruskan pembayaran pajakan Pulau Pinang kepada Sultan Kedah dengan nilai RM10,000 setahun.

Nilai itu diteruskan hingga sekarang. Bagaimanapun bermula pada tahun 2018 ketika Tun Dr Mahathir sebagai PM dan anaknya, Mukhriz selaku MB Kedah, Kedah menerima bayaran khas senilai RM10 juta daripada Kerajaan Persekutuan.

Bayaran RM10 juta itu terus dibayar sampai sekarang.

Kerajaan Negeri Kedah turut menuntut Pulau Pinang membayar RM50 juta setahun sebagai kos penjagaan sumber air mentah yang diambil oleh Pulau Pinang daripada Sungai Muda yang mengalir dari dalam sempadan Negeri Kedah.

Mengikut Akta Industri Perkhidamatan Air Negara 2006 (Akta 655) yang disambut dengan Enakmen Sumber Bekalan Air Negeri Kedah 2008, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) ditubuhkan untuk mengawal selia semua sumber air yang ada di Negeri Kedah.

LSANK berhak untuk mendapat bayaran daripada mana mana pihak yang menggunakan air mentah daripada segala sumber yang ada di Negeri Kedah atas tanggungjawab memastikan kelestarian sumber air terus terjaga dan dipulihara.

Bayaran ini juga sebagai ganti kos melepas oleh Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Kedah atas kehilangan pendapatan demi mengekalkan kawasan tadahan.

Syarikat Air Darul Aman (SADA) juga membayar kepada LSANK atas setiap titis air mentah yang diambil daripada sumber sumber yang ada di Negeri Kedah.

Malangnya Kerajaan Pulau Pinang hingga hari ini masih enggan membayar kepada Kedah walaupun negeri itu menggunakan 54% air mentah daripada Sungai Muda berbanding rakyat Kedah sendiri yang hanya menggunakab 46% air daripada sumber itu.

Pulau Pinang juga menggunakan 80% air mentah Sungai Muda untuk kegunaan seluruh negeri sedangkan mengikut undang undang hak riparian antarabangsa, hanya 5% air daripada sumber rehtas sempadan boleh dimanfaatkan oleh negeri atau negara yang dilalui.

Air itu juga mesti untuk kegunaan penduduk di dalam wilayah daratan yang dilalui sahaja sedangkan PBAPP turut menyalurkan air Sungai Muda untuk kegunaan di sebelah pulau selain menjual kepada pihak industri dan kapal kapal dengan keuntungan yang lumayan.

Setelah sekian lama keengganan Kerajaan Pulau Pinang menyebabkan kerugian kepada Kerajaan dan rakyat Negeri Kedah, tuntutan RM100 juta yang diangkat oleh MB Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk dibayar oleh Kerajaab Persekutuan adalah nilai paling munasabah.

Selain pajakan, tuntutan itu juga terkandung bayaran untuk air, pengekalan kawasan tadahan dan sebagainya.

Tuduhan Lim Guan Eng konon MB Kedah menghasut, mempertikai kedaulatan Pulau Pinang adalah semata mata menunjukkan MP Bagan itu mempunyai masalah kefahaman sama ada dari sudut sejarah mahupun bahasa.

Muhammad Mat Yakin
Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kedah