Home Berita PAS Melaka

Anugerah Ikon Amilin Unggul buat Almarhumah Noor Fazilah Ismail – DMPNM

605
SHARE

Oleh : Ibnatdeen

HANG TUAH JAYA, 16 Ogos : Mantan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Melaka, Almarhumah Noor Fazilah Ismail telah dinobatkan sebagai Ikon Amilin Unggul sempena Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM) kali ke-51 yang berlangsung di Dewan Raja Haji Fi Sabilillah, Bukit Baru, di sini pagi tadi.

Anugerah yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Melaka, Tuan Guru Ustaz Zulkifli Ismail ini telah diterima oleh Mariah Abdul Wahab, anak kepada Almarhumah Noor Fazilah.

Pemberian anugerah ini juga bertepatan dengan sifat Almarhumah yang merupakan seorang insan istiqamah dan memberi sumbangan buat PAS Melaka sehingga ke nafas terakhirnya.

Almarhumah yang sebelum ini bertugas sebagai akauntan di institusi kerajaan selama 33 tahun, tidak pernah menjadikan alasan tugas hakikinya itu untuk beliau culas dalam gerak kerja jemaah.

Sepanjang keterlibatannya, Almarhumah pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Melaka dan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka.

Insan ini juga sangat sinonim dengan agenda dan gerak kerja kebajikan, bahkan motto utama beliau adalah berusaha dan bekerja sehabis baik untuk jemaah.


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)