Home Berita PAS Kelantan

Anak syarikat kerajaan negeri diseru patuhi Akta SPRM

35
SHARE

KOTA BHARU, 15 Dis: Kerajaan Negeri Kelantan amat tegas dan komited dalam memerangi ancaman rasuah dengan memastikan semua penjawat awam termasuk pegawai-pegawai Kerajaan Negeri, badan berkanun serta anak-anak syarikat Kerajaan Negeri sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan telus dan berintegriti.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pengurusan) YM Dato’ Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf berkata undang-undang berkaitan dengan liabiliti korporat dan seksyen 17A, Akta Suruhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 telah diwartakan dan dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020.

Menurutnya, agensi Kerajaan Negeri dan anak-anak syarikat tidak terkecuali daripada penguatkuasaan seksyen 17A akta tersebut.

Oleh itu, penglibatan anak-anak syarikat dibawah agensi Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) untuk menyertai kursus tatacara mencukupi Seksyen 17A bersama Institut Integriti Malaysia (IIM).

Kursus tersebut dapat membantu mempertingkatkan kefahaman tentang kepentingan seksyen ini serta memperkasakan fungsi tadbir urus syarikat dengan telus dan mampu bersaing di peringkat global.

“Saya menekankan agar anak-anak syarikat yang lain dapat bersama turut serta dalam menyediakan tatacara mencukupi seksyen 17A Akta SPRM dan mengambil perhatian yang serius bagi memastikan seksyen 17A ini dipatuhi dan langkah-langkah sewajarnya perlu diambil untuk mencegah daripada berlakunya rasuah dalam operasi dan aktiviti perniagaan,” serunya dalam Majlis Sambutan Hari Intergriti Peringkat Negeri Kelantan, di Dewan Jamuan Utama, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.

Beliau mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan YB Dato’ Kaya Setia Nazran Muhammad memaklumkan pihak pentadbiran Kerajaan Negeri buat kali kedua menyahut cabaran untuk mendapatkan pengiktirafan melalui Pensijilan Anti-Bribery Management Systems (ABMS) MS ISO 37001:2016 yang dikeluarkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) pada Ogos 2022.

Pensijilan ABMS itu meliputi pengurusan perolehan, penawaran rumah, pengurusan sumber manusia, pengurusan aset, pengurusan peruntukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengurusan bagi permohonan pelaburan negeri dan proses sokongan berkaitan.

Sijil tersebut diserahkan oleh Ketua Eksekutif SIRIM QAS Internasional Sdn Bhd Fadhilah Muhammad kepada Dato’ Tuan Zainal Abidin dan disaksikan Exco Kerajaan Negeri, YB Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail.