Home Berita PAS Melaka

Anak muda baju hitam, sedarlah anda diperalatkan – PJ PAS Melaka

97
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 2 Ogos: Anak-anak muda yang menyertai perhimpunan haram ‘Keluar dan Lawan’ di Dataran Merdeka pada 31 Julai lepas harus sedar bahawa mereka sebenarnya hanya menjadi alat pembangkang, kata Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek.

“Saya harap anak-anak muda yang menyertai demonstrasi tersebut sedarlah perbuatan anda tidak bermanfaat langsung kepada negara dan masa depan anda.

“Kalian sebenarnya telah terperangkap oleh permainan ahli politik pembangkang dalam mengejar nafsu politik mereka yang buas demi kuasa,” ujar Ustaz Kamarudin.

Beliau turut berharap agar anak-anak muda ini dapat kembali kepada realiti kehidupan yang rasional dan jangan menghancurkan masa depan mereka dengan pengaruh negatif.

Mengulas tentang sikap anak-anak muda yang menyertai perhimpunan itu yang menunjukkan isyarat lucah semasa demonstrasi itu beliau berpendapat bahawa anak-anak muda terbabit hilang jati diri dan tak tahu apa matlamat mereka hadir.

“Rakyat tidak nampak apa untung mereka berdemonstrasi dengan aksi lucah dan sebagainya,” ujar beliau kepada Harakahdaily pagi tadi.

Beliau yang juga merupakan Penasihat Agama Kepada Ketua Menteri Melaka itu turut menzahirkan rasa terkejut dengan penganjuran demonstrasi ini di saat negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19 yang telah meragut ribuan nyawa serta lebih seratus ribu sedang dirawat.

Ustaz Kamarudin juga turut melahirkan rasa dukacita atas tindakan pembangkang yang dipercayai menjadi dalang di sebalik himpunan tersebut.

“Ini terbukti apabila terdapat beberapa orang pemimpin PH turut serta dalam demonstrasi tersebut. Saya rasa mereka ini hilang rasional dan hilang pertimbangan waras, mempergunakan anak muda sedemikian rupa.

“Saya rasa semua rakyat yang berfikiran normal tidak akan menyertai demonstrasi tersebut. Bukan kerajaan tidak demokratik, tetapi situasi yang yang amat tidak sesuai diadakan,” ujar beliau lagi.

Menurut Ustaz Kamarudin, rakyat Malaysia perlu ada sensitiviti untuk membantu negara keluar daripada musibah Covid-19 dengan mematuhi SOP serta turut sama berkempen kepada orang lain tentang perkara ini.