Home Berita PAS Melaka

Anak muda baju hitam belajarlah dengan anak muda PAS

264
SHARE

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH, 2 Ogos: Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaluddin menyarankan agar anak-anak muda ‘berbaju hitam’ yang menyertai demonstrasi ‘Keluar dan Lawan’ pada 31 Julai lepas agar belajar daripada anak-anak muda yang bergiat di dalam PAS.

Menurut beliau, dalam suasana anak-anak muda ‘berbaju hitam’ sibuk berkumpul untuk menyatakan bantahan terhadap kerajaan, anak-anak muda yang bergiat di dalam PAS sibuk membantu kerajaan melawan Covid-19.

“Anak-anak muda PAS yang terdiri daripada Dewan Pemuda, Ameerah, Jabatan Amal Malaysia (JAM), Khidmat Malaysia, PAPISMA sibuk menjalankan tugas amal mereka di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

“Rasa tanggungjawab kepada rakyat dan negara telah memacu mereka untuk berkhidmat secara sukarela.

“Inilah sikap yang harus diteladani oleh anak-anak muda. Nilai kemanusiaan dan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap masyarakat dan negara tidak terbentuk sekelip mata. Ianya lahir daripada proses tarbiyah yang panjang dilalui oleh anak-anak muda PAS ini,” ujar beliau.

Menurut Bakri, inilah kelebihan apabila duduk bersama dalam sebuah jemaah yang mempunyai ilmuan Islam dan ulama, sudah pasti akhlak dan adab menjadi acuan utama dalam membentuk budaya masyarakat yang peduli.

“Meletakkan keutamaan memenuhi hak manusia berbanding diri sendiri itulah didikan akhlak yang diterima dalam proses tarbiyah anak-anak muda PAS.

“Semasa kes keracunan udara Sungai Kim Kim di Johor tidak lama dahulu, anak-anak muda PAS di bawah Jabatan Amal dan Khidmat Malaysia turun padang membantu. Begitu juga bila banjir melanda, anak-anak muda baju merah tua (JAM) PAS akan turun padang membantu,” ujar beliau lagi.

Tambah Bakri lagi, di zaman maklumat di hujung jari amat sukar untuk menyembunyikan sesuatu di mana telah pun terakam di media sosial bahawa ada di antara ‘anak-anak muda berbaju hitam’ ini yang masih memakai gelang pink turut hadir bersama dalam perhimpunan haram itu.

Beliau turut mengulas tentang tindakan beberapa orang para demonstran yang menunjukkan isyarat lucah di dalam himpunan tersebut.

“Menggunakan perkataan yang kurang sopan dan isyarat lucah terakam dengan jelas dan menjadi tular di media sosial.

“Saya yakin semua netizen berfikiran waras dan matang pasti akan menggelengkan kepala tanda tidak setuju dengan aksi-aksi ‘anak-anak muda baju hitam’ di Dataran Merdeka ini,” kata beliau dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi beliau pada Ahad.

Beliau turut memberi peringatan bahawa pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara bukan sahaja memberikan kesan kepada ‘anak-anak muda baju hitam’ ini sahaja, tetapi anak-anak muda PAS dan anak-anak muda lainnya juga turut merasakan kesannya.

“Dalam suasana ramai yang hilang pendapatan, anak-anak muda PAS dapat melaluinya dengan penuh kesabaran dan yakin akan ujian Allah terhadap hamba-Nya. Tidak kelihatan keluh kesah di wajah anak-anak muda PAS. Apa lagi sanggup turun ke jalan raya untuk berdemonstrasi dalam suasana negara dilanda Covid-19.

“Alhamdulillah kita boleh melihat di media sosial bagaimana saban hari anak-anak muda PAS turun padang menghantar bakul makanan menjalankan kerja-kerja kebajikan.

“Dari mana sumber kewangan anak-anak muda PAS? Sedangkan umum tahu sekian lama semua kerja-kerja kebajikan PAS sumber dananya daripada poket ahli-ahli PAS sendiri dan orang ramai yang yakin dengan amanah dan kejujuran ahli PAS. Itulah kelebihan PAS,” ujar beliau lagi.