Home Berita PAS Kedah

Anak Kedah bangga negeri sedang membangun

324
SHARE

kedah sejahtera“Kerajaan nak buat Kota Perdana. Tanah FELDA kita kerajaan akan ambik untuk projek Kota Perdana,” teringat butir-butir bicara ayah dan emak 25 tahun dulu ketika kerajaan ura-ura menaikkan kawasan Bukit Kayu Hitam untuk dijadikan kawasan Kota Perdana.

Sebagai anak FELDA yang membesar di tengah-tengah ladang getah yang dianggarkan seluas 3,700 ekar bersempadan dengan Thailand ini, projek mega sebesar itu sukar untuk difahami dan ditafsirkan.

Apa yang kami tahu pada ketika itu, kononnya semua peneroka akan mendapat pampasan yang dianggarkan sejuta seorang dan semua ladang kecuali tapak rumah diambil bagi tujuan pembangunan projek.

Pengambilan tanah hanya berlaku kepada 3 orang peneroka sahaja untuk dijadikan tapak baharu ICQ Bukit Kayu Hitam, manakala projek lain terhenti disebabkan berlakunya krisis ekonomi pada tahun 1998 dan peralihan kepimpinan Perdana Menteri pada tahun 2003.

Tanah milik syarikat swasta yang sudah dibersihkan seingat saya 20 tahun lalu bagi tujuan pembangunan di situ, menjadi semak samun sehingga hari ini tanpa dimanfaatkan.

Semua ini berlaku kerana projek Kota Perdana bukanlan menjadi keutamaan kerajaan lagi dan kurangnya modal untuk membangunkan sebuah projek mega berimpak tinggi.

Kata orang Kedah, ‘bukan saiz kita’ nak buat projek yang mungkin nilainya mencecah puluhan bilion ringgit.

Apabila MIDA mengumumkan bahawa, bagi suku pertama 2021 Kedah menerima pelaburan domestik dan asing paling besar jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang lain, ianya merupakan salah satu langkah yang amat baik dalam pembangunan negeri ini.

Kelulusan pelaburan yang diluluskan di Kedah berniliai RM42 bilion ini, dilihat sebagai satu peluang baharu dalam melonjakkan ekonomi Negeri Kedah dan menaikkan jumlah pengeluaran dalam negeri. Satu jumlah yang besar iaitu lebih daripada 53 peratus daripada jumlah pelaburan keseluruhan berjumlah RM80.8 billion yang diterima negara.

Perdana Menteri melalui facebook beliau semalam juga melaporkan bahawa, terdapat pelaburan baharu yang akan masuk ke Kedah bernilai RM8.5 bilion yang menyediakan lebih daripada 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat menjelang 2024. Sekali lagi peluang untuk pembangunan ekonomi negeri ini.

Jika projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) terealisasi dan wujud pelabuhan baharu di Yan, sudah tentulah ianya akan menarik lebih ramai pelabur untuk masuk ke Negeri Kedah. Sebagai sebuah negeri yang strategik di pintu masuk selat Melaka, terdapat kawasan industri yang terletak berdekatan dengan pelabuhan, menjadi peluang kepada Kedah untuk bersaing dengan negeri-negeri lain khususnya Pulau Pinang, Selangor dan Johor yang terkenal dengan kawasan perindustrian masing-masing.

Suatu ketika, rakyat Kedah berbondong-bondong bermigrasi mencari pekerjaan ke Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor untuk berkerja di kilang-kilang yang ada. Mungkin dalam tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang, jumlah migrasi orang Kedah ke luar daripada Kedah akan berkurangan dengan wujudnya peluang-peluang pekerjaan baharu di negeri ini.

Suatu perkara yang sukar difahami oleh orang kampung di Kedah berkaitan projek berbilion-bilion ini, tetapi diyakini bahawa semua orang kampung inginkan anak-anak mereka turut menyumbang tenaga dan berbakti di negeri ini.

Ada peluang pekerjaan, anak-anak akan balik berkerja dekat dengan ‘orang tua’ mereka untuk sama-sama mereka mengerah keringat dan tenaga untuk membangunkan negeri.

DR FAISAL MUSTAFFA
Jitra, Kedah